Hospital daif dibaiki - Utusan Malaysia

Hospital daif dibaiki

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan telah memulakan langkah membaik pulih tiga buah hos­pi­tal usang di tiga negeri sejak awal tahun ini selepas kerja-ker­ja awalan melibatkan kajian penilaian bangunan serta proses berkaitan pelaksanaannya dise­lesaikan.

Hospital yang terlibat dalam fasa pertama itu ialah Hospital Sultanah Aminah di Jo­hor Bahru; Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

Kos membaik pulih ketiga-ti­ganya melibatkan peruntukan ma­sing-masing RM170 juta, RM150 juta dan RM30 juta yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan dijangka selesai tahun 2023.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata,, pelaksanaan pemulihan tiga hospital itu adalah antara 47 hospital lama yang akan dipulih dalam tindakan baik pulih dengan anggaran kos mencapai beberapa bilion ringgit.

Menurutnya, kerja-kerja ter­sebut melibatkan pendawaian se­mula, menaik taraf sistem gas dan sistem pencegahan kebakaran.

“Peruntukan RM13.65 juta telah diluluskan untuk kerja awalan bayaran perunding menjalankan kajian keadaan bangunan-bangunan utama di 21 hospital lama.

“Kementerian Kesihatan sedang menguruskan pelantikan perunding dan kajian perun­ding dijangka enam bulan.

“Permohonan peruntukan baik pulih akan dibuat dalam belanjawan akhir tahun ini untuk pelaksanaan baik pulih 21 hospital ini dan dijangka dimulakan pada tahun 2022 hingga 2025,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Adham ber­kata, kerja awalan untuk 26 lagi hospital lama akan dilaksanakan pada tahun depan.

Beliau menjelaskan, untuk langkah jangka pendek, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersama kementerian telah me­­ngenal pasti risiko-risiko keba­karan dan kerja-kerja kecil pembaikan.

Katanya, kerja-kerja itu menggunakan peruntukan sedia ada sejak tahun 2017 di semua hospital.

“Kementerian Kesihatan telah mendapat peruntukan tambahan RM10 juta untuk pematuhan notis bomba bagi 21 hospital lama pada tahun ini dan kerja dijangka siap pada akhir tahun ini,” katanya.

Menurut beliau, pemulihan 47 hospital dan insitutusi kesihatan itu dicadangkan untuk dibaik pulih sebagaimana di­syorkan Pasukan Khas Teknikal kepada Pasukan Khas Pemandu yang bermesyuarat pada September tahun lalu.

Katanya, Jawatankuasa Pemandu itu melibatkan keanggotaan dari Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewa-ngan.

Laporan muka depan Utusan Malaysia Julai lalu mendedahkan sekurang-kurangnya 46 hospital berusia lebih 50 tahun daif dan ‘uzur’ yang berisiko jika berlaku kejadian tidak diingini terutama kebakaran.

Perkara itu turut disahkan dua bekas menteri, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam serta mengakui isu itu mendapat perhatian mereka semasa menerajui Kementerian Kesihatan.

Difahamkan hospital terbabit yang menempatkan 30,000 katil pesakit memiliki sistem pendawaian elektrik berbahaya.

Susulan itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kepada media bahawa pihaknya telah menyegerakan penubuhan sebuah jawatankuasa kerja bagi memperbaiki kesemua 46 buah hospital daif berkenaan.

Bagaimanapun, pada bulan lalu, Adham memberitahu, sejumlah hospital atau institusi kesihatan itu dicadangkan untuk dibaik pulih termasuk menaik taraf Bahagian regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang telah berusia lebih 50 tahun.

Perkara itu disyorkan Pasukan Khas Teknikal kepada Pasukan Khas Pemandu yang bermesyuarat pada September tahun lalu yang turut mencadangkan pembaikan Hospital Alor Setar lama dan Hospital Orang Asli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN