Guru masuk kampung ajar PdPR murid Orang Asli - Utusan Malaysia

Guru masuk kampung ajar PdPR murid Orang Asli

SYED Zulkafli Syed Abdul Karim (berdiri, kanan) menyertai guru-guru SK Putra menghantar modul dan latihan kepada murid-murid Orang Asli di Kampung Ulu Lakai, Jelebu, Negeri Sembilan, semalam. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Seramai lapan orang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Putra dekat sini mengambil inisiatif masuk ke Kampung Orang Asli Lakai bagi membantu mengajar dan menghantar modul pembelajaran untuk anak-anak di kampung berkenaan.

Inisiatif itu dibuat supaya golo­ngan berkenaan dapat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Guru Besar sekolah berke­naan, Syed Zulkafli Syed Abdul Karim berkata, pihaknya mahu memastikan murid-murid Orang Asli mendapat pendidikan yang sama seperti murid lain.

“Kami mengambil inisiatif datang ke kampung Orang Asli ini bagi menghantar modul dan latihan kepada mereka. Kami mempunyai 22 murid Orang Asli dan setiap dua minggu sekumpulan guru membawa makanan dan modul kepada mereka.

“Kami juga memperuntukkan masa dua hingga tiga jam bagi mengajar dan memberi tunjuk ajar kepada murid-murid ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Seramai 140 daripada 156 murid SK Putra merupakan murid Orang Asli dan kesemua mereka menetap di 10 kampung Orang Asli sekitar daerah ini.

Syed Zulkafli berkata, murid-murid berkenaan tidak mempunyai peranti dan kemudahan internet yang sekali gus menyukarkan mereka mengikuti PdPR.

“Guru-guru juga perlu menghantar modul pelajaran sebanyak dua minggu sekali dengan menaiki pacuan empat roda.

“Sebelum ini mereka tinggal di asrama namun disebabkan PKP, mereka terpaksa pulang dan tinggal di rumah masing-masing. Mereka kelihatan seronok apabila guru-guru ini datang malah dengan cara ini mereka juga lebih bersemangat kerana boleh bertanya dengan guru-guru secara bersemuka,” katanya.

Bagi Araida Debis, keha­diran guru-guru tersebut telah memberi semangat kepada murid Orang Asli di kampung berkenaan.

“Anak saya sanggup mendaki bukit untuk ke khemah kanvas bagi mendapatkan modul dan latihan setiap dua minggu. Saya berterima kasih dengan pihak sekolah kerana mengambil berat tentang pelajaran anak-anak kami,” katanya.

Tok Batin kampung berke­naan, Debis Lebong pula berkata, kampungnya tiada kemudahan internet dan kawasan untuk dijadikan lokasi pembelajaran anak-anak.

“Kebetulan bukit ini merupakan kebun durian dan pisang namun apabila kami melihat kawasan ini ada liputan internet jadi saya memaklumkan kepada murid Orang Asli di sini untuk menggunakan bukit ini.

“Kami menyediakan khemah kanvas dan tikar untuk mereka belajar. Kami berharap dapat khemah yang lebih baik bagi membolehkan anak-anak ini lebih selesa, kami juga mahu anak-anak ini berjaya,” katanya yang berharap perkara berkenaan mendapat perhatian pihak bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN