Bukan mudah bawa masuk - Utusan Malaysia

Bukan mudah bawa masuk

AHMAD Hamzah ketika ditemu bual Maisarah Sheikh Rahim (kiri) di Putrajaya, baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

POLEMIK isu penyeludupan daging sejuk beku baru-baru ini menimbulkan kegusaran rakyat terutama masyarakat Islam berikutan penyalahgunaan logo halal sebelum dijual di pasaran seluruh negara. Ramai pengguna kecewa dan marah, bagaimana kegiatan ini boleh bebas beroperasi sejak bertahun-tahun lalu tanpa dikesan pihak berkuasa.

Turut terkena tempias, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana melibatkan isu halal selain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang dipersoalkan tentang kelompangan sistem.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, DATUK SERI AHMAD HAMZAH memberitahu, kerajaan mempunyai peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum membolehkan mana-mana produk daging diimport ke negara ini.

“Justeru, rakyat tidak perlu ragu-ragu dan yakin dengan segala protokol yang diatur adalah sangat teliti bermula dari peringkat pusat sembelihan sehinggalah ke peringkat pintu masuk, semuanya dikawal rapi demi kepentingan pengguna serta menjamin keselamatan makanan negara,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan jurufoto, FAISOL MUSTAFA di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

 

PENJELASAN

UTUSAN: Boleh Datuk jelaskan peranan kementerian dalam isu ini?

AHMAD: Kementerian ingin membuat penjelasan kepada seluruh rakyat yang tidak dapat maklumat tepat dan memberi keyakinan bahawa apa yang dilakukan kerajaan bukan sahaja untuk kepentingan negara. Malah menjaga kepentingan rakyat agar memperoleh sumber makanan mencukupi (food security) selain memastikan sumber makanan itu selamat (food safety).

Berhubung bekalan daging, tahap sara diri (SSL) dalam negara hanya meliputi 23 peratus. Bermakna kita kekurangan 70 peratus sumber daging berbanding permintaan. Maka, kementerian menggalakkan mana-mana individu atau syarikat untuk mengimport daging dari luar negara yang kerajaan telah kenal pasti dari sembilan negara sumber pengeluar daging merangkumi 51 pusat penyembelihan yang diiktiraf.

Bagaimana SOP pelantikan pusat sembelihan luar negara ini?

Sebelum melantik pusat penyembelihan, kementerian serta agensi berkaitan akan mengadakan perjumpaan dengan negara pengeluar itu sama ada mereka bersetuju dengan protokol import yang kita tetapkan. Selepas itu, barulah surat bertulis dikeluarkan dengan syarat-syarat ketat supaya mereka mengeluarkan produk daging berkualiti yang telah disahkan halal oleh kumpulan pemantauan.

51 pusat penyembelihan itu diaudit terlebih dahulu oleh badan-badan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jakim dan Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti jika terdapat penyakit berjangkit sehingga boleh menjangkiti ternakan negara kita pula.

LIBERALISASI

Boleh Datuk jelaskan isu monopoli syarikat pengimport daging bukan bumiputera?

Pengimportan daging sejuk beku dari luar negara telah diliberalisasikan pada 2016 dengan tidak mengehad atau menentukan kuantiti import. Oleh yang demikian, tiada sekatan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mengimport daging dari luar negara dengan syarat hanya mengimport daging daripada rumah penyembelihan yang telah diluluskan oleh kerajaan Malaysia dan mengikut prosedur yang kita tetapkan.

Berapa jumlah pengimport dalam kalangan bumiputera?

Sehingga Disember tahun lalu, terdapat 318 pengimport yang telah berdaftar secara pentadbiran dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Daripada bilangan tersebut, sebanyak 193 (61 peratus) syarikat adalah pengimport bumiputera manakala 125 (39 peratus) syarikat adalah bukan bumiputera. Bagaimanapun, purata syarikat bumiputera yang aktif mengimport adalah antara lapan hingga 10 peratus.

Dakwaan pengimport daging bumiputera dinafikan atau dipinggirkan oleh kementerian adalah tidak benar sama sekali memandangkan 61 peratus syarikat yang diluluskan adalah bumiputera.
Begitu juga isu monopoli bernilai berbilion ringgit dikawal oleh beberapa pengimport bukan bumiputera yang sering dibangkitkan adalah tidak benar kerana urusan rundingan perniagaan di antara pengimport dan pengeksport adalah berasaskan business to business, dan ia tidak melibatkan agensi kerajaan.

Keupayaan syarikat untuk mengimport adalah tertakluk kepada kemampuan kewangan, logistik dan rantaian pemasaran syarikat tersebut serta di luar bidang kuasa kementerian dan jabatan.
Pihak kementerian tidak pernah membuat sekatan atau mengawal mana-mana syarikat pengimport sama ada bumiputera atau bukan bumiputera untuk berurus niaga dan mengimport daging untuk pasaran dalam negara.

PEMANTAUAN

Berapa kekerapan pemantauan selepas perakuan halal diberikan kepada pusat penyembelihan?

Setelah kelulusan diberikan kerajaan, pemantauan ke atas rumah penyembelihan akan dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jakim (Kementerian Kesihatan jika melibatkan negara India). Pemantauan ini dijalankan setiap satu hingga tiga tahun mengikut negara yang luluskan.

Apakah SOP yang digariskan kepada pusat penyembelihan selepas diberi perakuan?

Rumah penyembelihan yang diberi kelulusan oleh kerajaan perlu mengekalkan pematuhan terhadap piawaian dan syarat-syarat yang telah ditetapkan iaitu kod amalan standard mengikut piawaian antarabangsa (MS 1540:2009: GMP, MS 1480:2009 HACCP, Kod Amalan Veterinar) meliputi kawalan penyakit haiwan dan zoonotik serta memastikan kualiti, keselamatan dan status halal bagi penggunaan rakyat Malaysia.

Apa tindakan jika didapati menyalahi SOP atau piawaian ditetapkan?

Sekiranya rumah penyembelihan tidak mematuhi piawaian ditetapkan, pihak berkuasa negara pengeksport tidak akan mengeluarkan sijil kesihatan veterinar dan sijil halal bagi tujuan eksport ke Malaysia. Pihak berkuasa negara pengeksport perlu memaklumkan kepada kerajaan Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Mana-mana rumah penyembelihan luar negara yang didapati melanggar syarat-syarat kelulusan akan dikenakan tindakan ‘Penggantungan Status Eksport’ atau ‘Digugurkan Status Kelulusan Eksport.’

Syarikat yang berdaftar sebagai pengimport daging sejuk beku hanya boleh mengimport daging sejuk beku dari rumah penyembelihan yang telah diluluskan oleh kerajaan Malaysia di bawah Perintah Binatang (Pengimportan) 1962.

Syarikat pengimport daging yang tidak mematuhi syarat-syarat ditetapkan akan digugurkan daripada senarai pendaftaran pengimport secara pentadbiran oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

TAMBAH BAIK

Setakat ini berapa banyak pusat penyembelihan dikenakan tindakan atau ditarik balik perakuan halal?

Pada tahun lalu, terdapat satu rumah penyembelihan luar negara (1.9 peratus) telah diambil tindakan penggantungan eksport ke Malaysia daripada sejumlah 51 yang diluluskan oleh kerajaan setelah digantung oleh pihak berkuasa negara pengeksport.

Adakah SOP ini perlu dinilai semula kerana dikatakan ada kelompangan sehingga berlaku ketirisan penyeludupan?

SOP yang kementerian tetapkan ini sudah amat ketat. Pemeriksaan dan audit dibuat secara berkala selain perlu melepasi tiga hingga empat jawatankuasa sebelum sesuatu produk daging itu dibenarkan diimport.

Bagaimanapun, kementerian sedang membuat pindaan kepada Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) bagi memperluas dan mengukuhkan bidang penguatkuasaan jabatan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Ketika ini bidang kuasa MAQIS hanya di pintu masuk, stesen kuarantin dan premis kuarantin sahaja, jadi sekiranya akta itu dapat dipinda, skop penguatkuasaan yang berlaku di luar pintu masuk dapat diperluaskan termasuk di pasaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×