Boleh adakan pemilihan secara e-undi - Utusan Malaysia

Boleh adakan pemilihan secara e-undi

RUSDI OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pemilihan UMNO perlu diadakan tahun ini memandang­kan sudah cukup tempoh tiga tahun untuk menentukan barisan kepemimpinan baharu.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, dalam suasana norma baharu berikutan pandemik Covid-19, pemilihan tersebut boleh diadakan secara dalam talian menerusi kaedah e-undi.

Malah katanya, jika UMNO benar-benar bersedia kaedah e-undi tersebut boleh dilaksanakan meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat ketika ini.

“Apa yang jelas pemilihan dijangka diadakan tahun ini dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga sudah memberi jaminan akan mengadakan pemilihan parti tahun ini dengan semua jawatan dalam UMNO termasuk presiden terbuka untuk ditandingi.

“Saya lihat tidak ada masalah pemilihan UMNO diadakan pada tahun ini. Malah, dijangkakan PKP atau darurat mungkin ditamatkan lebih awal sekira­nya isu Covid-19 dapat ditangani dengan baik,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, UMNO buat pertama kali dalam sejarahnya akan mengadakan dua Perhimpunan Agung UMNO (PAU), tahun ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia melibatkan PAU 2020 yang perlu diadakan sebelum Jun, diikuti PAU 2021 seperti yang diputuskan oleh Ahmad Zahid.

Kali terakhir pemilihan UMNO diadakan pada Jun 2018 iaitu pemilihan dalam suasana UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas buat kali pertama dalam pilihan raya umum selepas tempoh 60 tahun.

Dalam pemilihan tersebut, Ahmad Zahid diberikan kepercayaan memimpin parti bagi tempoh 2018-2021 selepas menewaskan Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sementara itu, Rusdi berkata, pemilihan UMNO yang akan berlangsung tahun ini dijangka paling sengit.

“Sudah pasti saingan kali ini lebih sengit kerana semua jawatan dipertandingkan. Di sini, kita boleh tahu siapa pilihan utama ahli akar umbi untuk meneraju kepemimpinan utama UMNO pada masa depan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN