200 pekerja pelantar minyak Petronas terkandas di Laut Andaman, Myanmar - Utusan Malaysia

200 pekerja pelantar minyak Petronas terkandas di Laut Andaman, Myanmar

PENEMUAN ruang minyak dan gas di pesisir Miri, Sarawak melebihi 100 meter dalam takungan batu Oligosen hingga pertengahan Miosen. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keselamatan kira-kira 200 rakyat Malaysia yang bertugas di sebuah pelantar minyak di Laut Andaman dalam perairan Myanmar menjadi tanda tanya apabila mereka terputus hubungan dengan daratan sejak Isnin lalu ekoran rampasan kuasa dan darurat di negara itu.

Semua mereka adalah pekerja di pelantar minyak Yetagun milik Petronas kini boleh dikatakan terkandas setelah terputus hubungan dengan daratan selain bekalan makanan dan bahan api hampir habis.

Salah seorang pekerja terbabit memberitahu Mingguan Malaysia, sehingga kini mereka tidak mendapat apa-apa berita atau perkembangan sama ada daripada pihak kedutaan Malaysia di Yangon atau majikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, status mereka yang merupakan pekerja dengan sebuah syarikat kontraktor yang berkhidmat dengan Petronas di sana tidak jelas sama ada perlu meneruskan kerja seperti biasa atau akan dipanggil balik ekoran pergolakan di negara itu.

“Sejak darurat diisytihar di Myanmar 1 Februari lalu, kami tidak mendapat apa-apa berita. Kami bimbang keselamatan kami di sini. Tidak ada apa-apa keputusan dibuat sama ada kami akan kekal di sini atau dibawa pulang.

“Ada kawan-kawan yang sudah dihantar ke darat, tetapi tidak ada khabar berita daripada mereka. Kami tidak dapat hubungi kedutaan di Myanmar. Kawan-kawan di darat juga tidak dapat dihubungi. Kami tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.

Beliau memberitahu, mereka kini tinggal dalam sebuah kapal induk yang mana bekalan makanan dan bahan apinya hanya boleh bertahan sehingga 10 Februari ini sahaja.

Oleh itu mereka meminta agar pihak terbabit terutama Petronas bertindak segera menyelesaikan krisis tersebut.

Pekerja terbabit memberitahu, sehari selepas rampasan kuasa itu berlaku, mereka diarahkan menghentikan semua kerja-kerja.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja itu disambung seperti biasa sehari selepas itu dan hingga kini mereka tetap menjalankan tugas harian walaupun bimbang akan keselamatan.

Katanya, jika mereka perlu meneruskan kerja seperti biasa maka pihak Petronas perlu memastikan bekalan makanan dan bahan api dihantar segera.

Jika bekalan bahan api terputus katanya, kapal yang menjadi tempat tinggal mereka itu tidak dapat beroperasi dan kehidupan mereka akan terjejas.

“Bekalan yang ada termasuk makanan hanya boleh bertahan hingga 10 hingga 11 Februari ini sahaja,” katanya.

Yang menjadi masalah sekarang katanya, perkhidmatan helikopter antara pelantar minyak itu dengan Dawei di daratan juga telah terhenti kerana dipercayai ia sudah dikawal oleh pihak Junta.

“Tidak ada perkhidmatan helikopter sekarang, difahamkan semua dikawal oleh pihak junta. Apa yang berlaku pun kami tidak tahu,” katanya yang sudah empat bulan bertugas di pelantar tersebut.

Katanya, dalam keadaan biasa mereka hanya akan bertugas di situ untuk tempoh 40 hari sebelum diganti oleh kumpulan lain.

Tetapi katanya, disebabkan isu visa dan pandemik Corvid-19, orang yang sama dikekalkan dan keadaan itu diburukkan lagi oleh perintah darurat dan rampasan kuasa tersebut.

Pada 1 Februari lalu tentera Myanmar mengambil alih pentadbiran kerajaan negara itu dengan pemimpin demokrasi Aung San Suu Kyi dan beberapa pemimpin politik ditahan.

‘Rampasan kuasa’ itu berlaku ketika pertikaian keputusan pilihan raya negara ini terus memuncak.

Beberapa jam selepas penahanan tersebut, tentera Myanmar mengisytiharkan darurat selama setahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini