WhatsApp terakhir anggota polis sebelum maut semasa kejar penjenayah - Utusan Malaysia

WhatsApp terakhir anggota polis sebelum maut semasa kejar penjenayah

Gambar kenangan Mahadir Elis (dua dari kanan) bersama isteri dan anak-anaknya. – GAMBAR IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Doakan keselamatan saya. Saya harap awak bangga dengan apa yang saya capai sampai hari ini.”

Itu mesej terakhir anggota polis, Allahyarham Koperal Mahadir Elis, 38, kepada isteri­nya, Azlila Talib, 39, menerusi Whats­App kira-kira pukul 11 malam semalam sebelum maut dalam kemalangan ketika mengejar penjenayah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, Mahadir dilanggar sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 semasa dia mengejar seorang suspek kes pecah rumah berhampiran lampu isyarat Sungai Petani-Tikam Batu di Padang Temusu di Sungai Petani dekat sini.

Menurut Azlila, dia tidak menyangka permintaan dan harapan suaminya seperti dalam kiriman WhatsApp itu adalah yang terakhir.

“Kehilangan suami amat memberi kesan kepada saya dan tiga anak, namun saya reda de­ngan pemergiannya.

“Arwah seorang yang sangat berani dan bertanggungjawab menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Katanya, ia merupakan kali pertama arwah suami terlibat dalam kejadian seperti itu sepanjang menjalankan tugas.

“Saya tidak sangka ini juga merupakan kali pertama dan kali terakhir suami terlibat dalam kejadian ketika menjalankan tugas,” ujarnya.

Sementara itu, anak arwah, Muhammad Afif Huzairi, 18, berkata, bapanya ada menghubunginya pada pukul 10.50 malam semalam.

“Ayah tanya soalan biasa dia tanya, pesan jangan lupa makan dan jaga adik-adik. Ayah seorang yang baik walaupun tidak banyak bercakap tetapi selalu ambil berat tentang kami,” luah Muhammad Afif.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, Mahadir yang merupakan anggota Unit Cegah Jenayah Balai Polis Sungai Petani maut di tempat kejadian akibat kecede­raan parah pada kepala.

Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama beberapa anggota dari Balai Polis Sungai Petani menahan tiga suspek kes pecah kedai di Kampung Kepala Bukit dan Sungai Pasir di sini kira-kira pukul 3.45 pagi ini.

“Mangsa bersama-sama pa­su­kan seterusnya ke Padang Temusu pada pukul 7.30 pagi tadi untuk membuat tangkapan terhadap seorang lagi suspek yang masih bebas.

“Sebaik tiba di lokasi, suspek bertindak melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis dan dikejar anggota terbabit sebelum dia dilanggar oleh sebuah motosikal dari arah hadapan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Difahamkan, polis masih memburu suspek berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN