KUALA LUMPUR: Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan UMNO membuat keputusan bijak berhubung kerjasama politik parti itu dalam menentukan hala tujunya menjelang Pilihan Raya Umum-Ke (PRU-15).
Peringatan tersebut susulan Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini akan mengadakan mesyuarat khas bagi membuat keputusan mengenai kerjasama parti itu dengan parti-parti lain termasuk Bersatu susulan majoriti akar umbinya menolak Bersatu pada persidangan peringkat bahagiannya, minggu lalu.
Semalam, ketua-ketua UMNO bahagian mengadakan mesyuarat khas dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.
Ahmad Zahid kemudian mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipercayai di lokasi sama bagi membincangkan perkembangan politik semasa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebarang ketetapan atau keputusan berhubung pertemuan khas akan diputuskan dalam mesyuarat MT UMNO malam ini.
“Mengenai parti lain, sudah tentulah kita bekerjasama dengan Pas dan selepas itu Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetapi parti selain daripada ini kita tunggu dan lihat keputusannya pada esok malam (hari ini). Ia adalah amat penting,” kata beliau selepas perjumpaan tersebut semalam.
Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain kerjasama dengan Bersatu, usul kerjasama dengan DAP serta Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dibawa dalam mesyuarat MT seterusnya diserahkan kepada Pengerusi Jawantankuasa Usul sebelum dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO, hujung bulan ini.
“Kalau perhimpunan UMNO luluskan usul ini, ia akan menjadi dasar parti. Apabila ia menjadi dasar parti maka setiap ahli perlu patuh. Ini prosedur UMNO dan setiap tahun ini yang kita buat.
“Kalau nak ubah sekalipun ia dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa. UMNO parti yang kuat mendukung demokrasi dan semua ahli berhak memberi pandangan,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Pertahanan semalam,”
Sementara itu, sebagai rakan dalam Muafakat Nasional (MN), Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berharap UMNO menerusi MT dapat berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu yang akan memberi kesan besar kepada Perikatan Nasional (PN).
Kata beliau, perpaduan antara Pas, UMNO dan Bersatu sangat diperlukan meskipun pelbagai halangan sedang berlaku.
Katanya, besar harapan Pas agar halangan-halangan tersebut dapat diatasi seterusnya merealisasikan hasrat untuk tidak berlaku pertembungan sesama sendiri pada PRU-15 yang secara tidak langsung bakal memberi kelebihan kepada pihak musuh.
“Kita memerlukan perpaduan ketiga-tiga parti ini (Pas, UMNO dan Bersatu). Itu menjadi harapan dan kita mendoakan usaha ke arah itu dapat dicapai.
“Mahu tidak mahu, kita kena bersatu dan bersama-sama, kalau tidak kita akan menghadapi masalah besar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hashim berkata, meskipun akar umbi UMNO menyatakan dengan jelas menolak kerjasama dengan Bersatu, namun MT parti itu belum membuat sebarang ketetapan mengenainya.
“Mereka (UMNO) boleh fikir mengenainya (sebelum membuat keputusan). Kita juga akan cuba memujuk UMNO agar memahami hakikat keperluan bekerjasama dalam mengukuhkan perpaduan dalam PN dan memperkuatkan MN,” katanya.
Dalam pada itu, Bersatu Pulau Pinang turut mengingatkan UMNO supaya lebih berhati-hati dan bertindak mengikut kebijaksanaan bukannya emosi dalam hubungan dengan parti berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Shabudin Yahaya berkata, kedudukan UMNO ketika ini juga terumbang-ambing sama ada akan dapat meneruskan kerjasama dengan Pas atau bergerak secara solo atau terpaksa bergabung dengan parti-parti lain yang sebelum ini dimusuhi UMNO dan akar umbinya sendiri.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, Bersatu ada kekuatan sendiri dalam PN bersama parti komponen besar lain seperti Pas dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai keikhlasan kepemimpinan PN.
“Rakyat perlu melihat Bersatu melalui jendela PN yang sudah berdaftar secara sah dan gabungan itu sudah semestinya menunjukkan kesediaan serta kesiapsiagaan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Perkiraan UMNO mengenai kekuatan sokongan parti itu pula adalah melalui jumlah cawangan walaupun kebanyakan ahli mereka sudah keluar parti atau berkecuali dalam pola politik hari ini.
“Sedangkan sokongan rakyat kepada mana-mana parti politik sekarang adalah daripada pengundi atas pagar dan tidak berparti.
“Oleh itu kemenangan dalam pilihan raya bergantung kepada persepsi. Kenapa UMNO boleh kalah dalam PRU-14 walaupun dikatakan ahlinya lebih tiga juta orang?” soalnya.- UTUSAN











