ARAU: Bagi dua beradik, Mohd. Adha Nor Irwan dan adiknya, Mohd. Risqi, proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam talian menggunakan komputer riba agak janggal kerana selain terpaksa berkongsi, capaian internet juga lemah.
Malah Mohd Adha, 12, dan Mohd. Risqi, 7, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Budriah yang tinggal di Kampung Lama, Guar Sanji, di sini juga mengakui kekok apabila melalui norma baharu itu.
Bapa kepada dua kanak-kanak tersebut, Nor Irwan Kamis, 42, berkata, dia perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih pada tahun ini bagi menyediakan kemudahan untuk proses pembelajaran anak-anaknya dengan membeli dua komputer riba baharu dengan salah satunya untuk kegunaan anak sulungnya yang berusia 17 tahun.
Katanya, meskipun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih dua kali ganda pada sesi baharu persekolahan tahun ini, dia tiada pilihan lain memandangkan peranti tersebut sememangnya menjadi keperluan sepanjang tempo PdPR.
“Pada masa ini, dua anak saya itu perlu berkongsi komputer riba dan dalam masa terdekat mungkin saya terpaksa membeli sebuah lagi komputer riba baharu. Apabila berkongsi, ia akan menjadi sukar jika waktu pembelajaran mereka serentak.
“Ketika ini, mereka (anak-anak) akan bergilir-gilir menggunakan komputer riba tersebut.
“Proses pembelajaran secara dalam talian ini nampak sukar namun lama-lama mereka mungkin akan biasa,” kata peniaga tersebut ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, pada masa ini, dia dan isterinya perlu membantu anak-anak untuk proses pembelajaran dalam talian itu kerana mereka masih belum mahir sepenuhnya menggunakan komputer riba.
Katanya, proses tersebut semakin sukar khususnya melibatkan murid yang baharu memasuki darjah satu yang mana mereka tidak pernah menggunakan komputer riba sebelum ini.
“Suasana pandemik Covid-19 ketika ini, mahu tidak mahu kita perlu menguasai norma baharu ini kerana jika pergi ke sekolah belajar secara bersemuka pada masa ini mungkin mengundang risiko sekiranya keadaan Covid-19 masih belum reda. Guru-guru juga banyak membantu dalam proses pembelajaran dalam talian ini,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Irwan juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan memberi kemudahan data percuma lebih daripada 1GB kerana kuota tersebut tidak cukup selain masalah capaian internet yang perlahan.
“Kemudahan data lebih 1GB itu mungkin boleh fokus untuk disalurkan kepada pelajar-pelajar sekolah selain pemberian komputer riba percuma khususnya untuk keluarga mempunyai anak yang ramai,” katanya. – UTUSAN








