KUALA LUMPUR: Pakej bantuan Pelindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) berjumlah RM15 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam,
disifatkan menjadi pelengkap kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan pertengahan (M20) bagi menghadapi kekangan ekonomi ekoran penularan Covid-19.
Pakar-pakar ekonomi berpendapat, dalam keadaan rakyat yang terus terhimpit akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Permai dianggap sebagai talian hayat kepada rakyat untuk meneruskan kehidupan.
Selain itu, mereka yakin bantuan tersebut juga dianggap mampu menarik semula pelabur asing ke negara ini.
Pensyarah Sekolah Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Abu Sufian Yaacob berkata, paling terkesan pada masa ini bagi mereka yang belum dapat pekerjaan atau meraih pendapatan yang ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang.
“Sekurang-kurangnya rakyat boleh bernafas selepas PKP 2.0 dilaksanakan. Bantuan ini juga mampu menarik pelabur asing datang semula ke negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan sebanyak 22 insiatif dilaksanakan di bawah Permai berteraskan tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Bagi Penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali Permai akan dapat membantu mengurangkan kesan kejatuhan ekonomi dan mengelakkan daripada meningkatnya kadar pengangguran.
“Walaupun nilainya hanya RM15 bilion, pakej ini amat diperlukan lagi-lagi ketika PKP ini bagi memastikan pemulihan ekonomi negara dapat diteruskan.
“Malah, bantuan seperti subsidi upah, moratorium, i-Sinar dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) penting supaya majikan tidak membuang pekerja dan diharapkan pemulihan ekonomi negara berada dalam landasan terbaik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pakar ekonomi, Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berharap Permai tidak dijadikan modal politik kepada mana-mana pihak.
“Fikirkan nasib rakyat yang telah terjejas akibat pandemik dan untuk masa ini, mereka sangat memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan,” ujarnya.
Bagi pakar ekonomi Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi b Abdul Rashid, pemberian moratorium boleh memberi impak negatif kepada institusi kewangan dalam negara.
“Sekiranya moratorium dipanjangkan kepada semua, maka ia tidaklah menjimatkan kos serta menjejaskan sistem perbankan secara jangka masa panjang. Namun sekiranya PKP ini berlanjutan lebih lama daripada jangkaan awal maka barulah ia patut dikaji semula,” katanya. – UTUSAN










