Prosiding mahkamah tetap berjalan - AGC - Utusan Malaysia

Prosiding mahkamah tetap berjalan – AGC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) tetap mengendalikan perbicaraan di mahkamah sepanjang tempoh darurat sehingga Ogos ini tertakluk kepada garis panduan ditetapkan badan kehakiman.

Peguam Cara Negara, Datuk Abdul Razak Musa memberitahu Utusan Malaysia, pihak pendakwaan seboleh-bolehnya mahu prosiding di mahkamah diteruskan dengan pematuhan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Perintah darurat yang diumumkan tidak mengganggu pihak pendakwaan mengendalikan prosiding, cuma kami tertakluk kepada garis panduan yang dikeluarkan. Pihak pendakwaan seboleh-bolehnya mahu kes diteruskan dengan pematuhan SOP yang ketat oleh semua pihak.

“Pihak kami sentiasa bersedia jika keadaan mengizinkan serta semua pihak boleh hadir,’’ ujarnya ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp semalam.

Antara kes berprofil tinggi pemimpin-pemimpin politik yang sedang dibicarakan di mahkamah adalah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Setiausaha Agung DAP yang juga bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Lain-lain kes yang menarik perhatian ramai ialah kes rasuah membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor dan kes pecah amanah bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luaran Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Beliau mengulas sama ada pihak AGC bersedia mengendalikan prosiding di mahkamah berikutan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat hingga 1 Ogos ini.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu, kelmarin.

Kelmarin, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengumumkan semua perbicaraan atau pendengaran kes jenayah di mahkamah terbuka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan enam negeri ditangguhkan.

Bagaimanapun, pihak-pihak berkenaan perlu mendapat persetujuan Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak terlebih dahulu untuk menjalankan perbicaraan secara terbuka bagi kes-kes yang mendesak.

Sementara itu, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tiada alasan bagi mana-mana ahli politik yang berdepan dengan kes perbicaraan berprofil tinggi di mahkamah menangguhkan perbicaraan yang sudah dijadualkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos ini.

Katanya, pengisytiharan darurat yang menuntut kepada penggantungan Parlimen dan tiada persidangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong kelmarin jelas menunjukkan mereka tiada pilihan selain menghadiri perbicaraan berkenaan.

“Jika ada wakil rakyat yang meletakkan aktiviti politik atau sebarang tadbir urus negara sebagai alasan untuk menangguhkan atau tidak hadir ke mahkamah untuk dibicarakan tidak akan diterima oleh mahkamah. Mahu tidak mahu, mereka tetap hadir perbicaraan seperti yang dijadualkan.

“Bagaimanapun, rakyat jangan menganggap bahawa kes akan berjalan setiap hari kerana penangguhan perbicaraan boleh berpunca daripada pihak kehakiman yang terpaksa mengendalikan banyak kes dalam sehari atau ada saksi yang dipanggil dari luar negeri tetapi perbicaraan berlangsung di negeri berbeza namun terhalang disebabkan sekatan rentas negeri,” katanya.

Hanif turut mengesyorkan kepada pihak yang menasihati Agong memperkenan proklamasi darurat untuk membuat permohonan agar Jabatan Peguam Negara mengusulkan undang-undang baharu bagi membolehkan sebarang kes jenayah melibatkan ahli politik kerajaan dan pembangkang dikendalikan dalam satu mahkamah oleh seorang hakim sehinggalah kes tersebut selesai.

Alasannya, antara faktor yang mendorong kepada kes mahkamah lambat diselesaikan disebabkan hakim di setiap negeri terpaksa mengendalikan pelbagai kes berbeza selain melihat manfaat di sebalik pelaksanaan darurat yang berlangsung sejak kelmarin.

“Contohnya kes Mohd. Najib Razak, hakim bukan mendengar kes beliau seorang sahaja tetapi orang lain juga. Tetapi kalau undang-undang ini diwujudkan dengan cepat, tak perlu dibawa ke Parlimen, boleh diluluskan oleh Agong tanpa perlu dibahas, maka dengan segera kita boleh ada mahkamah yang diringankan beban dengan menyelesaikan kes-kes pucuk pimpinan politik sahaja.

“Ini juga dapat menjelaskan kepada rakyat tentang keputusan mahkamah sama ada bebas ataupun sabit kesalahan dan tidak memakan masa sehingga pilihan raya umum akan datang dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN