PETALING JAYA: Pemotongan emolumen iaitu gaji atau elaun Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara tidak boleh dilaksanakan ketika fasa proklamasi darurat kerana ia melanggar undang-undang pentadbiran Parlimen.
Perkara itu ditegaskan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim yang berkata, sebarang pemotongan emolumen ahli haruslah diusulkan di dewan masing-masing dan kemudian dilulus atau ditolak kerana berkait dengan pindaan akta.
Beliau berkata, desakan sesetengah pihak supaya gaji serta elaun ahli Parlimen dan senator dipotong kerana tidak bersidang disifatkan sebagai tidak relevan berikutan mereka tetap memberikan khidmat meskipun dalam tempoh darurat.
“Sebarang usul hendaklah muncul daripada sesi. Sekarang Parlimen tidak bersesi, jadi tidak adil sekiranya usul itu diputuskan di luar Parlimen,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid bersedia gaji bulanannya dipotong bagi membantu rakyat yang terkesan dengan situasi semasa pandemik Covid-19 dan bencana banjir.
“Saya tiada masalah untuk dipotong gaji demi membantu mereka yang terjejas dan jumlahnya terpulang kepada nilai yang dipersetujui jika cadangan itu diluluskan.
“Fokus utama sekarang semua pihak perlu mengurangkan politiking dan membantu kerajaan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Dalam pada itu, Pakatan Harapan (PH) melihat cadangan pemotongan itu akan menyulitkan lagi usaha ahli Parlimen pembangkang untuk membantu rakyat.
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto berkata, pembangkang lebih banyak menggunakan duit gaji untuk membantu masyarakat di kawasan-kawasan berikutan tiada peruntukan khas untuk tujuan itu.
“Kami sering keluarkan duit sendiri ataupun mengharapkan derma untuk terus membantu rakyat yang memerlukan bantuan di kawasan kami,” ujarnya.
Dalam nada sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menggesa kerajaan memastikan tugas ahli Parlimen setimpal dengan bayaran gaji ketika tempoh darurat.
“Dalam tempoh darurat sekalipun, ahli Parlimen akan terus berkhidmat di kawasan masing-masing. Tetapi adakah ahli Parlimen langsung tidak perlu pergi Parlimen tapi gaji kami dibayar seperti biasa dan langsung tidak dipotong? Ini akan mengelirukan rakyat,’’ katanya. – UTUSAN










