SAMA kalut dan sama naik. Itulah gambaran yang boleh diberikan mengenai situasi pendemik Covid-19 dan kekalutan politik di negara kita.
Pada 18 Mac 2020 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan di seluruh negara iaitu tidak sampai sebulan selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan negara daripada Pakatan Harapan (PH).
Kedua-dua senario ini iaitu PN membentuk kerajaan dengan Tan Sri Muyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan PKP pada mulanya dilihat menjadi penawar kepada dua pendemik yang melanda negara ketika itu – pandemik politik dan pandemik Covid-19.
Pengenalan PKP diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) nyata membawa kesan positif apabila pada 1 Julai tahun lalu hanya satu kes baharu dicatatkan.
Ia juga dilihat sebagai kejayaan PN menguruskan pandemik tersebut selepas kegagalan PH bertindak dari awal hingga tercetus kluster Sri Petaling dan kluster-kluster lain yang mencetuskan ancaman di seluruh negara.
Ketika itu Malaysia disanjung di seluruh dunia kerana pendekatan yang diambil adalah yang terbaik. Malah ketika PKP dilaksanakan jumlah kes tertinggi harian hanya sekitar 300 kes berbanding yang tertinggi sekarang ialah 3,000 kes.
Tetapi itu lah, bak kata pepatah ingatkan panas sampai ke petang, rupanya ada hujan di tengah hari. Begitu juga dengan pandemik Covid-19. Semua peringkat lapisan rakyat merasakan ia sudah terkawal. Ia tidak menjadi realiti.
Pandemik Covid-19 ini sepatutnya adalah krisis kesihatan awam. Tetapi masa yang sama ia turut menjadi sebagai sebahagian daripada perhitungan politik apabila prosedur operasi standard (SOP) sentiasa berubah berdasarkan perubahan politik.
Sebab itu ketika negara masih bergelut untuk menurunkan lengkung Covid-19, pemain politik pula memberi kewajaran untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan seterusnya membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PN).
Maka berbondong-bondonglah jaguh politik dari tanah semenanjung berkunjung ke Sabah untuk membantu memastikan kemenangan parti masing-masing. Sedangkan ketika itu kes Covid-19 adalah yang tertinggi. Dan tidak sepatutnya dibenarkan pergerakan rentas negeri bagi mengelakkan penyebaran Covid-19 yang tidak terkawal.
Nyata kebimbangan itu menjadi realiti di mana sejak selepas PRN Sabah, kes harian Covid-19 boleh dikatakan tidak pernah turun di bawah paras dua digit. Malah ia mula naik mencecah angka ribuan dengan yang tertinggi adalah pada 7 Januari lalu iaitu 3,027 kes. Tidak pernah kita bayangkan negara kita bakal mencatatkan kes positif harian setinggi itu. Sedangkan ketika PKP dilaksanakan pada Mac tahun lalu kes hanya sekitar ratusan sahaja.
Lebih mengerikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjangka dalam tempoh tiga bulan sahaja lagi angka positif Covid-19 di Malaysia bakal mencecah 8,000 kes sehari. Maknanya di mana-mana sahaja akan ada Covid-19, mungkin tidak seorang pun daripada kita akan terlepas daripada pandemik ini.
Ketika virus Covid-19 semakin menggila, iklim politik negara juga bergelora dengan para pemainnya tidak pernah berhenti menyusun strategi untuk meraih kuasa dalam apa juga keadaan.
Imej Muhyiddin yang dipanggil ‘abah’ kini cuba dihakis dengan cubaan demi cubaan dilakukan untuk menjatuhkan kerajaan PN. Undi tidak percaya sudah terang-terangan dicadangkan bermula daripada sebelum pembentangan Belanjawan 2021 dan mungkin akan berterusan hingga sidang Parlimen akan datang pada Mac.
Seruan supaya diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga tidak pernah berhenti dengan pemimpin dari UMNO terutama percaya bahawa mandat perlu dikembalikan kepada rakyat supaya dapat memilih kerajaan yang stabil.
Dengan hanya memiliki majoriti kecil untuk mentadbir negara iaitu hanya 113 kerusi parlimen, kerajaan PN dilihat cukup rapuh. Sebab itu, daripada awal penubuhannya ancaman demi ancaman tidak pernah terhenti. Setiap hari ada saja desas-desus atau khabar angin bahawa akan ada ahli parlimen lompat parti yang akan menjatuhkan PN sebagai kerajaan.
Mesyuarat perwakilan bahagian UMNO yang berakhir pada 3 Januari lalu sekali menimbulkan kebimbangan kemungkinan berakhirnya kerajaan PN apabila dikatakan 189 daripada 191 bahagian yang bersidang telah mengemukakan usul supaya menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mana jika itu menjadi kenyataan ia membawa maksud kerajaan PN akan hilang majoriti untuk mentadbir negara.
Ketika para perwakilan bahagian UMNO mengemukakan usul tersebut, kes positif harian covid mencatat antara angka tertinggi iaitu 1,704 kes. Sehari sebelum itu pada 2 Januari kes harian adalah 2,295. Sudah tentu hasil daripada mesyuarat perwakilan bahagian UMNO itu mencetuskan kepanikan politik yang baharu dengan pemimpin parti yang terlibat masing-masing terpaksa memanggil mesyuarat untuk membincangkan perkara itu.
Akhir-akhir ini kekalutan politik ini telah menenggelamkan ancaman Covid-19 yang sehingga kini jumlah kes terkumpul 131,108 dam angka kematian sudah 537 orang. Sedangkan vaksin walaupun sudah disahkan pembeliannya, tetapi belum dapat dipastikan bila suntikan pertama akan dilakukan di negara kita. Ia masih lagi samar-samar. Yang nyata angka Covid-19 semakin menggerunkan dan keadaan politik negara pula terus bergelora.
Kita juga semakin sukar membezakan sama ada virus ini sudah menjadi politik atau politik sudah menjadi virus yang akan melumpuhkan kita sedikit demi sedikit. Yang mana akan terlebih dahulu membunuh kita? Politik atau virus?
Soalan penting yang harus kita tanyakan ialah apa yang telah kita pelajari mengenai politik dan pandemik Covid-19 di negara kita? Adakah politik dapat membantu kita keluar daripada pandemik ini, atau politik itu sendiri telah menjadi pandemik yang turut menjadikan kita sebagai mangsanya?










