PETALING JAYA: Kuasa Perdana Menteri untuk membentuk atau menggubal undang-undang baharu hanya tertakluk kepada peraturan bagi membendung wabak Covid-19.
Pembentukan undang-undang atau peraturan penting untuk keselamatan serta beberapa isu relevan termasuk ekonomi negara juga termasuk dalam bidang kuasa Perdana Menteri sepanjang tempoh darurat ini.
Bercakap dengan Utusan Malaysia, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, sebarang penggubalan undang-undang yang tidak berkaitan Covid-19 tidak boleh diteruskan tanpa perbincangan sewajarnya.
“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan berkuasa untuk membuat apa-apa peraturan atau ordinan yang difikirkan sesuai dalam konteks anti-Covid.
“Selain daripada hal tersebut, beliau juga boleh membuat peraturan hal-hal berkaitan pentadbiran, panduan atau arahan berasaskan ekonomi dan semua hal yang melibatkan kepentingan dan keselamatan awam,” katanya semalam.
Semalam, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, sekalipun ahli Parlimen yang menarik diri menyebabkan Muhyiddin hilang kepercayaan sebagai ketua kerajaan, namun selagi ia belum dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuktikan sokongan itu maka selagi itu kedudukan beliau tidak tergugat.
Tambah Rais, perubahan kuasa kerajaan sekiranya benar Perdana Menteri telah hilang majoriti hanya boleh dilakukan selepas tamat tempoh darurat yang diisytiharkan dan kuasa Parlimen juga tidak boleh digunakan sepanjang tempoh darurat.
“Sama ada kehilangan majoriti atau tidak, itu hanya dapat diabsahkan selepas 1 Ogos nanti. Dalam tempoh hampir lapan bulan ke depan kedudukan Perdana Menteri tidak berubah.
“Semasa darurat dikuatkuasa di bawah perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Parlimen digantung kuasanya. Maka, Perdana Menteri tak perlu lagi membawa apa-apa usul Parlimen yang tiada kuasa lagi dalam tempoh darurat itu untuk membuat urusan legislatif,” katanya. – UTUSAN











