PdPR: 4 beradik kongsi 1 telefon - Utusan Malaysia

PdPR: 4 beradik kongsi 1 telefon

NUR Syuhada Hussaini (dua dari kiri) membantu pembelajaran adik-adiknya di rumah mereka di Sungai Rusa, Balik Pulau. Turut kelihatan Siti Aminah Omar (kanan). – MINGGUAN/MOHAMMAD FIRDAUS OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Sebuah telefon pintar tetapi terpaksa dikongsi empat beradik untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Nasib mereka lebih menyedihkan apabila sesi PdPR berlaku serentak, sedangkan keluarga ini tidak mampu membeli sebuah komputer riba.

Nur Syuhada Hussaini yang baru menjangkau 15 tahun terpaksa beralah, malah menjalankan tanggungjawab memantau adik-adiknya mengikuti PdPR terlebih dahulu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart itu menggalas tanggungjawab membantu ibunya, Siti Aminah Omar, 45, seorang ibu tunggal yang keluar be­kerja seawal pukul 6 pagi setiap hari sebagai peniaga kelapa dan santan di pasar.

Tambah menyukarkan, kesemua adik-beradik tersebut juga perlu berkongsi sebuah telefon pintar secara bergilir-gilir.

Nur Syuhada anak kelima daripada sembilan adik-beradik berkata, selepas bapa mereka meninggal dunia dua tahun lalu, ibunya menggalas tugas mencari rezeki dan tugas menjaga empat adiknya Mohd. Yusof, 13; Ibrahim, 10; Adam, 8; dan Hawa, 4, menjadi rutin hariannya.

Bagaimanapun, katanya, tugas menjaga adik-adiknya semakin mencabar setelah mereka tidak dapat ke sekolah dan perlu mengikuti proses PdPR dalam keadaan kekurangan gajet yang sesuai.

“Kami akan bergilir-gilir meng­gunakan sebuah telefon sahaja untuk ikuti kelas secara dalam talian,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, semalam.

Menurut Nur Syuhada, dia akan mendahulukan tiga adiknya mengikuti PdPR.

“Kadang-kadang saya akan terlewat menghantar kerja sekolah tetapi itu sahaja cara yang kami ada sekarang iaitu bergilir-gilir menggunakan te­lefon.

“Jauh di sudut hati saya teringin untuk memiliki komputer riba, namun saya tidak mahu menyusahkan ibu kerana sepanjang PKP pendapatan keluarga kami tidak menentu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Anak-Anak Yatim Balik Pulau, Jamaliah Ishak yang melawat Nur Syuhada dan adik-adiknya berkata, kebanyakan ibu tunggal yang dikenalinya menghadapi kesukaran untuk menyediakan kelengkapan yang sesuai ketika PdPR dijalankan.

“Mereka selalu tanya saya macam mana nak dapatkan bantuan komputer riba dan sebagainya untuk anak-anak, jadi saya amat mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin menyumbang gajet kepada anak-anak yatim ini,” katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berhubung dengan Jamaliah di talian 011-24114569 atau Siti Aminah iaitu ibu kepada Nur Syuhada (014-2505964). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN