PETALING JAYA: Banjir di Pahang dan Johor semakin pulih dan jumlah mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berkurangan berbanding kelmarin, manakala di Pasir Mas, Kelantan keadaan tidak berubah.
DI PAHANG, jumlah mangsa terus menurun kepada 8,640 orang setakat pukul 5.15 petang.
Menurut info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu membabitkan 2,382 keluarga di 109 PPS di tujuh daerah.
Pekan mencatat bilangan terbanyak 3,317 mangsa melibatkan 932 keluarga di 38 PPS, diikuti Maran 2,075 orang.
Temerloh konsisten menurun dengan baki 1,246 mangsa, Kuantan (875), Bera (740) dan Lipis (353) manakala Jerantut tinggal 34 mangsa di satu PPS membabitkan 10 keluarga.
Di SARAWAK, memetik laporan Bernama, mangsa banjir meningkat dengan 12 lagi PPS dibuka.
Setakat ini, jumlah penduduk di beberapa daerah di Sarawak yang dipindahkan meningkat kepada 1,826 orang, dengan jumlah keseluruhan 33 PPS.
DI JOHOR, banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 892 orang melibatkan 276 keluarga setakat pukul 3 petang semalam, dengan kesemuanya berada di 10 PPS di lima daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata, Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah tertinggi dengan 612 orang melibatkan 165 keluarga di lima PPS, diikuti Johor Bahru 118 orang daripada 72 keluarga di dua PPS.
Kluang mencatatkan seramai 74 orang daripada 17 keluarga, Segamat seramai 75 orang daripad 20 keluarga dan di Batu Pahat 12 orang daripada dua keluarga, masing-masing di satu PPS.
DI KELANTAN, jumlah mangsa di Pasir Mas kekal 32 orang setakat petang semalam dan berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, kesemua mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.
Portal infobanjir.water.gov.my memaklumkan setakat petang semalam Sungai Golok di Kuala Jambu masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 2.52 meter.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat jingga dengan hujan lebat berterusan diramal di Sandakan, Sabah melibatkan kawasan Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan pada hari ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon dalam satu kenyataan memaklumkan, amaran cuaca waspada peringkat kuning di Sabah dan Sarawak diramal bermula hari ini hingga Ahad ini.
Tambahnya, angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 60km/j dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan dalam tempoh tersebut. – UTUSAN









