Sinar Nabila Razali
Menggambarkan 2020 sebagai tahun suka dan dukanya, penyanyi dan pelakon ini tidak menafikan, setiap satu daripada langkahnya selama 365 hari pada tahun itu mengukir cerita yang tersendiri.
Menikmati segala positiviti dan negativiti yang melingkari, Nabila bagaimanapun bersyukur kerana sebenarnya begitu banyak hikmah dan perkara baik yang diraihnya usai menyorot kembali segala yang berlaku.
“Tahun lepas menyaksikan saya berjaya mencapai beberapa sasaran utama. Dari aspek lakonan juga begitu. Tetapi untuk tahun ini, saya mahu melangkah sebagai seorang usahawan,” katanya.
Dari segi pengurusan kesihatan mental, Nabila yang menginjak ke angka 29 tahun sedar, perihal ini barangkali bukan mudah untuk dielak, apatah lagi kerjaya sebagai seorang selebriti menuntut dirinya untuk sentiasa kuat dan cekal menerima serangan tanpa peluru daripada pelbagai pihak.
“Sejak menceburi dunia seni, inilah yang sering saya hadapi dan ia bagaikan tidak akan pernah berakhir walau apa jua yang saya cuba lakukan. Tetapi,segala komen negatif itulah yang membantu saya berada di kedudukan sekarang,” katanya yang cukup popular dengan lagu Peluang Kedua.
Seiring rupa dan bakat – Hun Haqeem
Terjerat dengan kontroversi tahun lalu cukup mematangkan Hun Haqeem. Dia belajar untuk tidak cepat melatah dan meneruskan langkah tanpa sesal. Apa yang berlaku itu adalah ranjau yang harus dia tempuhi.
Melangkah ke tahun ini, pastinya dia punya rencana baharu. Mahu lebih fokus membina jenama berbanding berdiri atas kontroversi murahan, Hun tidak sekadar menjual rupa. Dia punya bakat untuk dikongsi kepada peminat seni.
Percaya kepada konsep rezeki tetap anugerah tuhan, dia tidak sekali meletakkan matlamat untuk berdiri sama tinggi dengan pelakon lelaki hebat lain seperti Remy Ishak dan Datuk Rosyam Nor. Perjalanan itu masih jauh.
Namun di mata kasar peminat, dia mampu untuk bergelar ‘Hero Malaya’ seandainya bijak mencatur langkah. Pemilihan naskhah dan menolak pubsiliti murahan untuk popular adalah strategi utama.
“Bukan tugas saya untuk meletakkan diri setaraf mereka. Cukup untuk saya sentiasa belajar dan memperbaiki diri. Mana yang kurang sila tegur (berhemah). Saya juga tidak mahu berada dalam zon selesa.
“Kena sentiasa mencakna bakat dan ilmu seni. Bergelar ‘Hero Malaya’ bukan tujuan saya masuk industri. Saya selalu tanya diri, apa yang kurang? Apa aku boleh tambah, perbaiki. Saya tak nak lupa diri,” katanya.
Popular dengan watak Jekfer menerusi drama bersiri Kampung People, Hun tahu populariti itu tidak akan bertahan lama. Dia perlu segera mencipta ‘watak’ ikonik lain atau memilih karya yang mampu menginjak namanya ke persada lebih luas.
Mahu mencari watak yang lebih mencabar dan meletakkan dirinya berbeza daripada pelakon lain, jejaka berusia 23 tahun ini mahu mencuba bekerja dengan produksi luar negara demi menimba ilmu seni dengan lebih dalam.
“Risau juga kalau orang ingat saya sebagai Jekfer sahaja. Tetapi dalam drama Angkara Cinta, orang mula nampak saya dalam watak berbeza. Bersyukur bila orang mula menilai bakat dan lakonan saya.
“Saya mahu jadi pelakon bertaraf antarabangsa. Mungkin orang juga ketawa tetapi itu adalah impian saya sebagai pelakon. Saya juga mahu jadi idola ramai seperti Ebit Lew. Semoga tahun ini memberi sinar lebih untuk kerjaya,” katanya.
Yonny Boii kekal positif mengejar impian
Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin atau lebih dikenali ramai sebagai Yonny Boii akui rasa sedikit kecewa apabila lagunya tidak tersenarai dalam Anugerah Juara Lagu 2020.
Bagaimanapun, katanya, rasa sedih yang dialami itu sebentar sahaja kerana sokongan yang diterima daripada rakan-rakan dan keluarga.
“Memang saya ada rasa sedih tetapi oleh kerana sokongan orang ramai, perasaan itu tidak kekal lama.
“Tidak mengapalah saya tidak dapat, janji ada kawan-kawan yang berjaya memasuki senarai itu,” katanya kepada Pancaindera dengan penuh rendah diri.
Bukan sahaja berbakat, pemuda itu juga mempunyai hati yang besar. Walaupun baru berusia 22 tahun, pemikirannya matang dan tidak mudah cemburu atas kejayaan orang lain.
Anak kelahiran Perak itu berkata, dia akan terus mengejar impiannya kerana perjalanannya masih jauh dalam industri seni ini.
Yonny akui muzik yang dicipta olehnya kebanyakannya menggunakan muzik elektronik dan bukan secara organik atau tradisional.
Bagaimanapun, katanya, dirinya juga masih banyak yang perlu diperbaiki dari segi suara, persembahan dan keyakinan diri semasa menyanyi.
Mempunyai lebih 200,000 pendengar bulanan di Spotify, ramai beranggapan Yonny Boi sebagai penyeri atau wajah baharu dalam industri muzik.
“Saya sangat berterima kasih kepada orang yang menganggap saya sebagai penyeri dalam industri seni itu. Tetapi bagi saya, penyeri muzik itu akan datang daripada generasi yang lebih muda daripada saya,” jelasnya dengan ringkas.
Pernah give up berlakon
– Riena Diana
Populariti yang diraih Riena Diana tahun lalu benar mengejutkan dia. Siapa sangka, menerusi watak Lailer popularitinya mencanak. Namanya mula menjadi pilihan produser dan produk-produk.
Tidak mahu selesa dengan populariti ‘sementara’ itu, dia mula takut untuk melakukan kesilapan. Berhati-hati dalam mengatur langkah, warganet seakan menunggu untuk menyerangnya andai kata dia tersadung.
“Orang cakap cepat naik, cepat juga turun. Saya takut juga itu. Malah, takut juga kalau hendak buat silap. Nanti warganet kecam. Tetapi saya anggap itu lumrah. Selalu ingatkan diri untuk berpijak di bumi nyata,” katanya.
Mengakui pernah sahaja ingin meletakkan noktah dalam kerjaya seninya, dia hanya tertawa sendiri ketika mengingati momen mula berlakon dahulu. Pengalaman dimarahi senior, pengarah cukup meninggalkan kesan dalam dirinya.
Malah keputusan berhenti belajar demi meneruskan kerjaya sebagai pelakon juga menimbulkan rasa sesal dalam diri. Benarkah keputusannya? Jika dia tidak berjaya sebagai pelakon, sia-siakah usahanya selama ini? Itu bermain dalam fikirannya,
“Masa itu saya keliru tetapi ayah nasihat, kalau buat sesuatu kerja biar sampai habis. Jangan separuh jalan. Sebab itu saya tegarkan hati dan teruskan juga berlakon. Alhamdulillah, orang mula nampak bakat saya,” katanya. – Pancaindera










