BAYANGKAN hanya dalam tempoh lima hari kebelakangan ini, kes positif Covid-19 merekodkan sebanyak 14,396 kes. Jumlah kematian pula sudah mencatatkan 36 kes. Hari ini sahaja, negara mencatatkan kes tertinggi sebanyak 3,337 kes iaitu sekali lagi melebihi 3,000.
Kes kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini sudah mencecah 33,989 kes. Kesemua ini sedang dirawat atau dikuarantin di fasiliti kesihatan.
Kes jangkitan wabak ini semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat.
Keadaan hospital umpama medan perang. Menurut doktor yang bertugas, katil-katil penuh dengan kes-kes berisiko Covid.
Pasukan kesihatan bekerja keras tanpa henti. Kes-kes pula tidak dapat masuk ke wad kerana semua katil hospital telah penuh. Malah kes-kes yang perlukan bantuan pernafasan, ventilator yang sepatutnya masuk unit rawatan rapi (ICU) terpaksa diurus di zon kecemasan.
Ramai petugas kesihatan ‘tumbang’ satu persatu kerana dijangkiti wabak membawa maut itu.
Keadaan itu ‘memaksakan’ kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua di negeri-negeri berisiko tinggi iaitu di tiga Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta lima negeri lain iaitu Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Sabah.
Kerajaan mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan sekali gus perkhidmatan kesihatan tidak lumpuh.
Hanya dengan langkah ini dilihat mampu melandaikan lekuk jangkitan Covid-19. Itupun sekiranya semua orang patuh duduk di rumah.
Unjuran Kementerian Kesihatan menjangkakan negara boleh mencecah 8,000 kes pada minggu ketiga Mac ini mengikut kadar kebolehjangkitan (R0) pada 1.2. Pada minggu ketiga Februari pula dianggarkan sebanyak 5,000 kes harian boleh dicatatkan mengikut jangkaan unjuran sama.
Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi Covid-19 pada 24 Okt 2020, iaitu 1,228 kes dan fenomena itu direkodkan setiap hari dan dua kali melepasi angka 3,000 iaitu pada 7 Januari lalu (3,027 kes) dan kali kedua pada 12 Januari sebanyak 3,309 kes.
Fasiliti KKM sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan lebih 2,000 kes baharu setiap hari.
Lima belas hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 (bukan Unit Rawatan Rapi (ICU)) melebihi 70 peratus selain di Lembah Klang, kadar penggunaan katil ICU di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus.
Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di lima negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula telah melebihi 70 peratus.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, sekiranya katil ICU di dalam hospital yang dikhususkan untuk merawat Covid-19 sudah penuh, pesakit Covid-19 yang serius dan kritikal iaitu kategori 4 dan 5 terpaksa ditempatkan di ICU hospital-hospital lain yang tidak dikhususkan untuk Covid-19.
Ini akan menjejaskan rawatan kepada pesakit bukan Covid-19 yang lain, serta akan mendedahkan lebih ramai anggota kesihatan kepada jangkitan khususnya yang bertugas di rawatan rapi dan kritikal.
Pada masa ini direkodkan lebih 1,450 anggota perubatan di hospital seluruh negara telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.
Bagaimanapun, Noor Hisham yakin langkah kerajaan melaksanakan PKP berada pada landasan betul dalam usaha melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 walaupun jangkaan itu hanya berlaku dalam tempoh 12 minggu.
Hanya pelaksanaan PKP selama empat minggu mampu menurunkan kepada 1,000 kes positif atau sekurang-kurangnya 500 kes bagi membolehkan fasiliti kesihatan negaramampu menampung kes-kes positif Covid-19.
Apa pun, peperangan melawan Covid-19 belum berakhir. Ia hanya boleh berjaya jika setiap orang dari kita mengambil tanggungjawab mematuhi SOP dan duduk di rumah. Kita masih belum menang. – UTUSAN









