Banjir kian surut, namun huluran bantuan tidak sebegitu. Ia akan terus ada sebagaimana sokongan masyarakat terhadap syarikat telekomunikasi Halo Telco dengan kerjasama Tunetalk. Peningkatan jumlah penggguna saban hari terhadap Halo Telco memperbanyakkan lagi dana bantuan.
Ia sekaligus akan kembali kepada masyarakat, kembali kepada pengguna yang memerlukan menerusi Halo Prohatin.
Halo Prihatin ialah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Halo Telco.
Terbaharu dalam program Misi Banjir Halo Prihatin, syarikat telah memperuntukkan RM30,000 bantuan berupa pemberian wang, tilam dan selimut baharu bagi meringankan beban mangsa banjir sekitar Johor, Pahang dan Kelantan.

Bulan lalu menyaksikan puluhan ribu masyarakat di negeri ini terjejas akibat banjir besar yang berlaku disebabkan perubahan angin monsun dan peningkatan air sungai.
Ada sebahagian mangsa kehilangan tempat tinggal akibat rumah dibawa arus atau ranap akibat runtuhan. Tidak kurang juga kehilangan nyawa akibat aliran air dan bah yang deras.
Berkongsi pengalaman turun padang menemui mangsa, Ketua Pegawai Eksekutif Halo Telco, Mohd. Shukri, berkata bantuan kepada orang kurang upaya (OKU), Mohd Khairi Othman yang rumahnya digenangi air, paling menjentik tangkal hatinya.

Katanya, dalam misi bantuan ke Tanjung Pulai Pekan, Pahang, itu beliau ‘terlepas pandang’ rumah OKU berkenaan kerana pada peringkat awal bantuan dihulurkan pada bahagian belakang penempatan dahulu, sedangkan rumah OKU itu di bahagian depan.
“Waktu hendak beredar daripada lokasi itu, Mohd Khairi datang berjumpa saya dan memperkenalkan diri.
“Disebabkan barangan bantuan sudah habis diagihkan, saya menghulurkan wang. Malangnya beliau enggan menerima dengan mengatakan dia tidak menerima bantuan dalam bentuk wang tunai. Tersentak saya dengan sikap ikhlasnya itu,” katanya kepada Seri. Misi bantuan berlangsung sehingga akhir bulan ini mendapat kerjasama daripada sukarelawan Halo Prihatin.
Mengulas mengenai cabaran, Kata Mohd. Shukri memberitahu, antara insiden tidak dapat dilupakan ialah sebanyak 60 bungkusan nasi ayam ingin diberikan kepada mangsa banjir di Johor, rosak kerana kenderaan digunakan membawa bantuan untuk diagihkan terlibat dengan kemalangan.
“Kalau hati tidak kuat, saya tidak akan sampai ke situ. Kekuatan saya ialah masyarakat yang memerlukan. Sokongan merekalah mengukuhkan jenama. Kami percaya lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita menerima,” katanya.
Mohd. Shukri memberitahu, maklumat mengenai mangsa banjir diperolehi melalui aduan pengguna.
“Platform media sosial banyak membantu kami dalam mengumpul maklumat mengenai lokasi mangsa banjir. Tanpa pengguna, sukar untuk kami merealisasikan misi ini,” katanya.
Tegasnya, setiap pelanggan penyumbang kepada misi bantuan dijayakan kerana kesetiaan melanggan sim kad Halo Telco.
Sejak Halo Prihatin dibangunkan 22 Jun lalu, lebih 1,000 masyarakat mendapat manfaat. Antaranya pembangunan rumah pelindungan anak yatim, Rumah Halo Prihatin Jalinan Kasih, Cheras.
Dalam peracangan masa depan, Mohd. Shukri berkata pihaknya akan membangunkan kompleks anak yatim pula.
“Saya berharap semua rakyat Malaysia terus menggunakan sim kad Halo Telco supaya kita boleh terus membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Selain sumbangan dana, setiap pembelian kad sim berpeluang memperoleh dana bantuan daripada syarikat.
Hingga kini kad sim jenama itu sudah dilanggani lebih 600,000 orang.
Mohd. Shukri memberitahu, sekiranya orang ramai ingin menghulurkan bantuan dalam bentuk wang, mereka tidak menerimanya.
“Kami tidak menerima tunai. Kalau nak bantu, ia boleh direalisasikan menerusi pembelian kad sim,” katanya.
Peluang menderma
Simkad Halo Telco, dikuasai talian Tunetalk dan ditunjangi oleh utiliti Celcom, iaitu Halo Telco membuka ruang kepada ramai orang menderma.
Pengurus Halo Prihatin, Erry Arham Azmi memberitahu, setiap pembelian kad sim daripada Halo Telco, sebanyak 0.5 peratus akan disumbangkan untuk kerja amal.

Katanya, sekiranya sebelum ini Halo Prihatin lebih tertumpu kepada kewujudan Rumah Halo Prihatin yang didirikan untuk anak-anak asnaf dan yatim piatu, tetapi untuk misi bantuan kali ini ia lebih kepada mewujudkan empati kepada mangsa banjir.
“Sewaktu awal penubuhan Halo Prihatin ini, objektif kami adalah untuk bersama-sama membantu kerajaan Malaysia, menjalankan kerja-kerja kebajikan untuk bangsa dan negeri sekiranya berlaku bencana alam dan sudahpun kami realisasikan dengan jayanya,” katanya.
Begitupun, katanya hakikatnya masih ramai kurang mengenali Halo Prihatin.

Di mana NGO di bawah naungan Syarikat Telekomunikasi Halo Telco ini semua peruntukan datang dari syarikat dan mereka tidak mengambil sebarang bentuk peruntukan daripada kerajaan mahupun syarikat swasta lain.
“Ia 100 peratus peruntukan dari syarikat Halo Telco. Saya menyarankan di waktu pandemik ini, orang ramai, bijak memilih syarikat telekomunikasi ini. Ia bukan bukan sahaja menjimatkan dari sudut penggunaannya, tetapi turut mampu memberi semula kebajikan kepada rakyat,” katanya.










