Jenazah itu mirip babi - Utusan Malaysia

Jenazah itu mirip babi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kolum Seram

Ada suatu kisah yang ingin saya ceritakan kepada pembaca tentang jenazah yang pernah saya uruskan satu ketika dahulu. Mungkin ada yang tidak percayakan atau was-was dengan cerita ini, namun kisah ini kejadian yang benar-benar berlaku dan cukup menginsafkan saya.
Sekitar Januari, 1993, seorang wanita menghubungi saya. Saya kenal wanita tersebut termasuk suami dan anak-anaknya kerana kami pernah tinggal di kejiranan yang sama sebelum mereka berpindah ke daerah lain.
“Suami saya sudah meninggal dunia. Saya nak minta tolong ustaz datang rumah malam ini untuk uruskan jenazah dia,” kata wanita tersebut di talian. Nadanya sedih dan cemas.
Menurut wanita itu, suaminya meninggal dunia di rumah ketika Maghrib sebaik pulang dari hospital mendapatkan rawatan. Entah apa sakit suaminya, tidak pula saya bertanya lanjut.
Mendengar permintaan wanita tersebut saya termenung sejenak. Saya terfikir yang suaminya baru saja meninggal dunia, jadi kenapa dia hendak uruskan tergesa-gesa? Kenapa tidak tunggu esok sahaja?
“Uruskan esok tak boleh ke? Dah lewat malam ini,” kata saya memberi cadangan.
Lagipun kata saya sebelum urus dan kafankan, bolehlah saudara mara atau sahabat handai arwah datang berziarah. Tengok muka arwah buat kali terakhir, lagipun arwah bukan orang sembarangan. Dia juga ternama ramai kenalan.
Tapi cadangan saya ditolak mentah-mentah oleh isterinya.
“Tak boleh ustaz… Kena urus malam ini juga. Urus esok susah jadinya. Nanti jiran-jiran tengok susah pula. Jenazah ini… ,” kata isteri arwah tidak menghabiskan kata-katanya.
“Macam ni lah ustaz… ustaz datang tengok sendirilah,” sambungnya lagi.
Mendengarnya kata-katanya saya dapat rasakan ada sesuatu tidak kena. Akhirnya saya akur. Waris sudah amanahkan, saya tidak boleh menolak.
Tapi kenapa isterinya mahu urus tergesa-gesa? Apa masalah sebenarnya? Getus saya dalam hati.
“Datang malam ini ya,” ujarnya lagi sebelum meletakkan telefon.
Selepas mendapatkan alamat tempat tinggal barunya, saya dan anak lelaki terus menyediakan kelengkapan mandian dan kafan. Cukup semuanya, kami bergerak ke rumah arwah.
Kami berdua sampai di rumah arwah lebih kurang pukul 3 pagi. Di sana, memang tiada sesiapa kecuali beberapa ahli keluarga terdekat arwah sahaja.
Sebaik masuk ke dalam rumah, saya lihat jenazah sudah dibaringkan atas tilam di ruang tamu, bertutup dengan kain batik. Saya minta izin untuk melihat jenazah.
Perlahan-lahan, kain yang menutup jenazah saya selak. Sebaik terlihat muka dan tubuh arwah terus saya terkejut. Darah saya tersirap.
Perut jenazah membusung seolah menunggu masa hendak pecah. Tak ubah seperti wanita sedang mengandung sembilan bulan. Badan jenazah juga jadi pendek dan mengembang.
Berbeza sungguh dengan tubuh badan arwah semasa saya kenal ketika hayatnya dulu.
Yang paling pelik dan menakutkan ialah muka arwah. Wajahnya sudah membengkak. Hidungnya besar dan mengembang hingga lonjong ke depan. Mulut dan bibir juga membengkak dan muncung ke hadapan. Mata pula tersembul keluar.
Terus terang saya katakan, melihat muka arwah saling tak tumpah seperti wajah seekor babi.
Saya memang betul-betul terkejut. Memang saya pelik. Kenapa jenazah boleh jadi begitu? Apa sakitnya arwah ini?
Walaupun pelik dan terkejut melihat keadaan jenazah, saya dan anak lelaki tidak bertanya lanjut. Saya mandikan jenazah sehingga siap di kapankan.
Selesai semuanya, barulah saya berjumpa dengan isteri arwah yang masih kaget dan sugul.
“Suami puan sakit apa?’ Tanya saya. Niat hanya sekadar ingin tahu saja.
Sambil mengalirkan air mata, isteri arwah bercerita kepada saya. Katanya, petang tadi, suaminya mengadu sakit perut.
Lantas dibawa suaminya ke hospital. Doktor yang merawat mengesahkan suaminya tidak ada sebarang penyakit sebelum dibenarkan pulang.
“Sampai rumah, dia mengadu sakit perut lagi. Dia kata badannya panas macam nak terbakar. Lepas maghrib dia tiba-tiba sesak nafas dan terus meninggal,” terang isterinya tersendu-sendu.
Mendengarnya sekali lagi saya pelik. Sakit begitu sahaja terus meninggal dunia?
“Kenapa pula jenazah jadi macam tu?’ tanya saya lagi inginkan kepastian.
Si isteri tunduk. Agak lama berdiam diri barulah dia bercerita lagi. Katanya, dia sendiri hairan dengan perubahan jenazah suaminya itu.
Semasa mula-mula meninggal, keadaan jenazah biasa sahaja. Tapi sejam kemudian, perut suaminya mula membusung.
Muka suaminya juga mula membengkak dan berubah seperti yang saya lihat tadi. Jenazah suaminya juga tiba-tiba jadi pendek.
“Entahlah.. mungkin ni balasan Allah pada suami kut,” ujarnya dengan suara sayu.
Saya yang mendengar terus tersentak. Persoalan mula muncul dalam kepala. Balasan? Apa pula suaminya buat semasa hidup? Saya terus bertanya lanjut.
“Kenapa dengan arwah? Apa yang dia buat?” tanya saya lagi.
Kata isterinya, apa yang berlaku mungkin berkaitan sikap suaminya semasa hidup. Arwah sebenarnya bergaduh dengan imam dan bilal di masjid berdekatan rumah mereka.
Permusuhan ini sudah lama berlaku. Puncanya hanya kerana perbezaan parti politik saja. Imam dan bilal tersebut bukan orang sama parti dengan suaminya.
Disebabkan itu suaminya selalu bergaduh dengan imam dan bilal di masjid tersebut. Setiap kali suaminya dengar bilal tersebut melaungkan azan, suaminya akan mengherdik dan mencaci.
“Suami kata, tak habis-habis melalak macam anjing. Memekak saja. Kalau imam tu yang pimpin kuliah Maghrib pun, suami akan caci benda sama. Puas saya nasihatkan, tetap macam itu juga.
“Macam tengah hari tadi, dia dengar bilal tu laung azan, dia caci benda sama. Lepas tu suami halang orang yang nak pergi sembahyang Jumaat. Suami kata jangan pergi. Imam tu bukan boleh pakai. Lepas tulah, dia mengadu sakit perut,” cerita isterinya lagi.
Saya yang mendengar terkedu. Sungguh saya tak sangka arwah sanggup bertindak begitu hanya kerana berbeza fahaman politik, sudahlah begitu sanggup pula mencaci dan menghina orang yang mengajak ke arah kebaikan.
“Mungkin sebab itu jenazah arwah jadi macam ini. Sebab itu juga kami nak urus jenazah ini cepat-cepat. Takut orang tahu. Nanti malu,” kata isterinya lagi.
Saya yang mendengar hanya mengangguk tanda faham. Fikir saya mungkin itu adalah balasan Allah SWT kepada umatnya yang ingkar dan mempersendakan ajarannya.
Firman Allah, surah Ghafir, ayat 46:“Mereka didedahkan kepada bahan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya”. (Surah Ghafir: 46) – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN