Sesekali bila menjadi penumpang Grab, seronok juga rupanya. Paling tidak, dapat bersembang dan mendengar pengalaman pemandu. Nak dijadikan cerita, Selasa lepas saya perlu mengambil Grab untuk kembali ke kereta yang diletakkan di satu kawasan di Wangsa Maju.
Sebaik sahaja teksi Pesona tiba, saya naik di kerusi belakang. Pemandunya lelaki berusia 40-an. Sama seperti penumpang lain, saya pun mula bertanya soalan ‘wajib’ iaitu “dah lama bawa teksi Grab?”
“Taklah lama sangat, 11 tahun. Dulu bawa teksi sembilan tahun, dua tahun ini baru Grab,” katanya.
Wah, ini dah boleh jadi bahan cerita, bisik hati kecil saya. “Mana lagi banyak dapat income encik, guna teksi atau Grab?” tanya saya.
“Mestilah Grab. Kalau saya guna teksi nak cari makan sekarang, dapat seorang penumpang pun dah mujur sangat rasanya. Sebab pendapatan teksi memang sangat jatuh.
“Bila buat Grab sekarang, sehari boleh dapat sehingga RM150. Itu pun saya mula lebih kurang pukul 7 pagi sehingga sebelum Maghrib. Itu pun saya berhenti solat dan makan,” kata pemandu yang saya ringkaskan sebagai S ini.
Tanya saya, habis itu kenapa banyak teksi berbaris dekat stesen LRT atau pondok teksi misalnya. Kenapa tak tukar kepada Grab saja? Atau mereka tak tahu nak guna gajet moden?
“Itu pun saya pelik. Nak kata kalau tua tak tahu guna gajet, kawan saya pemandu teksi umur 67 tahun. Dia dah bawa Grab, tak ada masalah pun.
“Pemandu teksi kena berubah juga, tak boleh menentang kemajuan. Cuma saya nak beritahu, pemandu teksi yang marah-marah dengan Grab sebenarnya geng yang tak pakai meter. Yang pakai meter kebanyakan dah akur dengan kehadiran e-hailing ini,” kata pemandu ini lagi.
Melihat kereta Pesonanya yang masih baharu, saya membuat serkap jarang agar dia terus bercerita.
“Biasanya kebanyakan teksi yang saya nampak di jalan dah lama, tapi teksi encik masih baru. Memang beli kereta baru untuk buat teksi ya?” tanya saya.
“Tak, saya sebenarnya rasa terhutang budi dengan kerajaan dulu. Sebab sebelum Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dibubarkan, kerajaan bagi pakej bantuan RM5,000 seorang untuk pemandu teksi. Besar jumlah duit itu untuk kami. Saya mulanya nak terus menggunakan permit syarikat teksi lama bila dah habis bayar. Tapi caj pula mahal. Jadi, saya mohon permit sendiri dan beli kereta baru. Bayaran bulanan jauh lagi murah,” kata bekas pekerja syarikat telekomunikasi ini.
Katanya, 11 tahun dulu, dia terpaksa mengambil.Skim Pemisahan Sukarela (VSS). Tiada pilihan kerja lain ketika itu selain membawa teksi.
“Cuma itulah, jadi pemandu teksi atau e-hailing, kenalah rajin dan jangan merungut saja,” katanya.
Sebelum menghulurkan bayaran, saya katakan kepadanya yang saya seronok bersembang.
“Saya pun seronok bersembang dengan Puan. Jarang saya jumpa penumpang yang suka bersembang. Selalunya diam saja,’ katanya tergelak.
Saya turut tergelak. Kalaulah pemandu ini tahu yang saya penulis kolum ini, tentu dia berdiam diri.
Apa pun, selaku pemandu Grab yang mahu penumpang memberikan lima bintang di atas perkhidmatan saya, maka saya juga berbuat demikian. Lima bintang! Juga kata-kata pujian yang ikhlas di atas keramahannnya melayan soalan saya. – Mingguan Malaysia










