ISU mengenai motosikal tidak pernah selesai. Pusing sana pusing sini, isu kemalangan juga yang diperkatakan. Ramailah pengamal undang-undang, pemerhati serta pengkaji sosial meluahkan pendapat itu dan ini tentang kenderaan yang dianggap mudah dan menjimatkan tersebut.
Itu belum dicampur pendapat pihak kerajaan, pengeluar motosikal dan semua yang mempunyai kepentingan ke atas kenderaan yang menjadi kegilaan anak-anak muda waima orang veteran ini.
Bagaimanapun, apabila kadar kemalangan dan kematian membabitkan golongan ini sentiasa meningkat, ramai yang buka mata terhadap golongan ini.
Selak sahaja akhbar setiap hari, tentu ada sahaja dalam kalangan penunggang dan pembonceng yang terlibat kemalangan. Dilanggar kereta, melanggar kereta dan sebagainya. Itu hanya sebilangan kecil kes yang dilaporkan.
Kalau semua hendak dilaporkan, sudah tentu tiga atau empat muka akhbar tidak cukup untuk menyiarkan kes-kes kemalangan sahaja dalam sehari. Oleh itu, ada yang berpendapat, lesen B2 iaitu bagi penunggang-penunggang kapcai perlu dilupuskan. Malah, pelbagai pendapat lain yang pro dan kontra kedengaran di mana-mana sahaja.
Oleh sebab kita sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan seperti kerja, pergi balik sekolah, bersiar-siar, berniaga dan sebagainya, mustahil kita boleh mencapai kemalangan dan kematian sifar di jalan raya.
VISION ZERO
Sweden melancarkan kempen ‘Vision Zero’ sejak 1997. Kita pun sudah lama riuh-rendah dalam soal ini tetapi lebih setengah juta kemalangan berlaku setiap tahun dan angka kematiannya pula mencapai purata 18 orang sehari.
Dalam 18 itu, lebih 50 peratusnya ialah penunggang dan pembonceng motosikal. Tidak hairanlah ada yang meminta motosikal diharamkan. Ia memang tidak masuk akal. Analoginya, jika sampah di sekolah banyak disebabkan plastik makanan dicampak merata-rata, hentikan jual makanan. Itu fikiran singkat. Analoginya juga, suatu hari nanti apabila kes kemalangan semuanya melibatkan kereta, kereta pula hendak diharamkan. Itu lagi sempit tetapi jalan jadi makin luas kerana semakin kurang yang berada di jalan raya.
Yang masuk akal rasa-rasanya adalah memikirkan kaedah supaya tidak banyak kemalangan berlaku. Ini yang perlu difikirkan bersama antara semua pihak yang terbabit dengan motosikal.
Saranan sudah pun dibuat oleh pelbagai pihak agar mereka ini diberi laluan khas di kawasan-kawasan tertentu agar tidak mengganggu kenderaan lain. Maksudnya jenis-jenis kapcai ini mesti ada lorong khas supaya tidak bercampur dengan kenderaan gergasi lain waima sesama ‘spesies’ mereka sendiri yang kini gemar berkonvoi ke sana sini.
ALTERNATIF
Motosikal juga dianggap sebagai pengangkutan alternatif mengurangkan kesesakan, kegunaan kebanyakan golongan yang sederhana pendapatan, malah kegunaan anak-anak sekolah menengah supaya ibu bapa tidak perlu bersusah-payah menghantar anak dan menjemput pulang dari sekolah.
Analogi motosikal dan kenderaan-kenderaan lain di jalan raya masih sama seperti dahulu iaitu antara mentimun dan durian. Tetapi zaman sekarang, mentimun pun sudah bertukar menjadi durian kerana kapcai-kapcai ini pun mengalahkan kenderaan lain dari segi kelajuannya. Jika motosikal itu jatuh ke tangan kaki rempit, segala macam bas, kereta berkuasa tinggi pun kalah dengannya di jalan raya.
Inilah yang memeningkan pelbagai pihak kerana motosikal bukan hanya dijadikan keperluan ke tempat kerja tetapi untuk berlumba. Maka oleh sebab itulah ramai yang menyaran agar had umur pemilikan lesen ditingkatkan supaya golongan yang masih mentah dan berdarah panas ini tidak berada di jalan raya, tetapi bercanggah pula dengan kepentingan motosikal untuk anak-anak ke sekolah.
Mahu tidak mahu, tugas berat ini mesti dipikul oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), masyarakat sekeliling dan ibu bapa agar aktiviti tidak sihat ini dapat dibendung.
Apa pun, semua jenis kemalangan yang berlaku di negara kita tidak kira membabitkan apa jenis kenderaan pun masih berpunca daripada sikap dan kepekaan terhadap undang-undang.
Memandu laju, tidak mengikut peraturan jalan raya, masalah teknikal dan faktor cuaca masih menjadi punca-punca yang boleh difikirkan dan kemudian diambil tindakan bersama.
Sikap mestilah diletakkan di tempat pertama kerana inilah asas segala masalah. Jika ada sikap berhati-hati, jalan rosak pun tidak ada masalah, hujan ribut pun tidak ada masalah. Jika peka terhadap undang-undang di jalan raya, semuanya tidak akan mendatangkan masalah.
PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.









