PETALING JAYA: Institusi zakat sedia membantu golongan yang terkesan kewangan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
Langkah ini adalah yang kedua dilaksanakan selepas puluhan juta disalurkan oleh pusat kutipan zakat negeri-negeri sepanjang PKP 1.0 selama tiga bulan Mac tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali berkata, bagi tahun ini sehingga semalam jelasnya, sebanyak RM330,000 telah disalurkan bagi kategori bantuan sara hidup, perubatan, baik pulih rumah dan bantuan modal perniagaan.
“ZPP menjangkakan permohonan Bantuan Khas Covid-19 meningkat sebanyak 10 hingga 15 peratus tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga menjangkakan peningkatan permohonan zakat ekoran pelaksanaan semula PKP dan darurat ketika ini yang menyebabkan ramai yang terkesan daripadanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor memberitahu, MAIPs terus membuka pintu ‘24 jam sehari’ termasuk cuti hujung minggu dengan syarat mendapatkan pengesahan imam atau pemimpin masyarakat di kawasan masing-masing.
Katanya, MAIPs telah menyalurkan kira-kira RM4.6 juta bagi membantu golongan memerlukan sepanjang tempoh PKP tahun lalu termasuk bantuan khas rangsangan asnaf berjumlah lebih RM2.9 juta melibatkan 14, 697 penerima.
Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) pula mengagihkan RM196 juta pada tahun lalu berbanding RM184 juta pada tahun sebelumnya bagi membantu penduduk negeri itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata, jumlah penduduk yang memerlukan zakat meningkat tahun lalu yang kebanyakannya terjejas akibat Covid-19.
“LZNK sedia mempertimbangkan bantuan zakat kepada mereka yang berkelayakan termasuk akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) juga mengalu-alukan permohonan golongan yang terjejas.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, pandemik Covid-19 telah mengubah hidup banyak keluarga.
“Saya mahu mereka tahu bahawa institusi seperti Baitulmal, Majlis Agama Islam dan PPZ-MAIWP terbuka untuk memberi bantuan,” ujarnya.
Katanya, PPZ-MAIWP berjaya mengutip zakat lebih 11 peratus iaitu RM756 juta pada tahun lepas berbanding tahun 2019, RM 682 juta.
Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang pula membelanjakan kira-kira RM14.6 juta bagi menyalurkan bantuan susulan pandemik Covid-19 pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussin berkata, bantuan tersebut melibatkan 94,785 penerima di seluruh negeri dan bersedia melaksanakan sekali lagi bantuan itu. – UTUSAN










