Golongan profesional tak amanah - Utusan Malaysia

Golongan profesional tak amanah

ZAINUDDIN YAACOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan profesional seperti peguam, akauntan dan pengarah syarikat yang menjadi kepercayaan dalam sesebuah institusi turut terjebak dalam kes jenayah pecah amanah membabitkan kerugian sehingga RM4.3 bilion dalam tempoh tiga tahun ini.

Dari tahun 2018 hingga November 2020, statistik menunjukkan kerugian tertinggi direkodkan membabitkan pecah amanah dilakukan pengarah syarikat bernilai RM4.05 bilion, diikuti peguam RM237 juta dan akauntan RM12.7 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, golongan berkenaan terdedah dengan transaksi kewangan yang besar sekali gus memudahkan mereka melakukan jenayah pecah amanah.

Menurut beliau, dalam tempoh tersebut, polis membuka 403 kertas siasatan membabitkan pengarah syarikat dengan 149 kes berjaya diselesaikan.

“Pengarah syarikat, orang nombor satu dalam sesebuah organisasi jadi mudah bagi mereka memanipulasi pekerja.

“Pekerja kena ingat, walaupun pengarah pemilik syarikat, mereka juga perlu melalui proses sama untuk menggunakan wang syarikat seperti satu entiti berbeza dan jika mereka mengeluarkan wang tanpa melalui proses sepatutnya, itu sudah menjadi kesalahan pecah amanah.

“Wang digelapkan individu bergelar pengarah ini pula bukan sedikit, jadi proses pemilihan pengarah harus dijalankan sebaiknya manakala audit terhadap harta, aset dan kewangan syarikat setiap tahun perlu menyeluruh,” kata beliau dalam temu bual bersama Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Mengenai pecah amanah membabitkan peguam, Zainuddin berkata, peguam turut menyumbang kepada jenayah itu apabila sebanyak 239 kertas siasatan dibuka dan 120 kes berjaya diselesaikan.

Menurut beliau, pecah amanah dilakukan peguam kebanyakannya membabitkan urusan pembelian aset bernilai tinggi seperti tanah, bangunan dan rumah-rumah.

“Kita memerlukan khidmat peguam dalam urusan jual beli bernilai tinggi, jadi kita lantik mereka menjaga kepentingan kita.

“Tetapi bila ada peguam tidak jujur dan ‘gelap mata’ melihat wang hasil jual beli anak guam yang bernilai jutaan ringgit, satu transaksi akan melibatkan kerugian kepada banyak pihak,” jelas beliau.

Oleh itu, menurut beliau, bagi mencegah jenayah dilakukan peguam, seseorang itu perlu memilih peguam daripada firma guaman yang ada rekod baik dan urusan hanya dilakukan di pejabat firma guaman.

“Teliti setiap dokumen serta pastikan juga setiap transaksi bayaran disertakan resit rasmi dan elakkan membuat bayaran secara tunai,” kata beliau.

Selain itu, kata Zainuddin, pihaknya membuka 85 kertas siasatan membabitkan jenayah pecah amanah oleh akauntan syarikat denan sebanyak 24 kes dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan.

“Pihak yang paling mudah melakukan jenayah pecah amanah adalah akauntan kerana mereka yang bertanggungjawab dalam urusan kewangan syarikat.

“Kita harap pihak syarikat melakukan pemilihan akauntan dengan berhati-hati supaya tidak menyumbang kepada peningkatan kes tahun ini,” jelasnya. – MINGGUAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN