PASIR SALAK: Pendapatan mengutip buah sawit tidak mencukupi untuk keluarga Orang Asli di sini membeli data internet untuk anak mereka mengikuti pembelajaran kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Seorang wanita Orang Asli di Pengkalan Daun Labu Kubung, Chenderung Balai di sini, Norieen Long, 40, berkata, dengan pendapatannya yang tidak menentu, agak sukar untuknya membeli data internet untuk keperluan pembelajaran anak-anaknya.
Katanya, data internet bukan sahaja untuk PdPR anak-anaknya tetapi juga kegunaan seharian.
“Dalam sehari, RM20 diperlukan untuk membeli data termasuk untuk kelas atas talian anak-anak, bermakna saya kena kutip lebih banyak buah sawit.
“Keluar rumah untuk mengutip buah sawit pukul 8 pagi sampai pukul 11 pagi. Biasanya mengutip buah sawit lima orang dan hasilnya dibahagi sama rata. Dengan harga RM6 sekilogram, berapa banyak sangat kami boleh dapat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Norieen yang mempunyai dua anak yang masing-masing bersekolah rendah dan menengah berkata, masalah itu dihadapi oleh kebanyakan penduduk di kampungnya.
Katanya, bagi yang mempunyai ramai anak yang masih bersekolah, beban kewangan untuk menyediakan data internet tentunya lebih sukar.
“Kalau anak yang bersekolah sampai lima orang satu keluarga contohnya, berapa banyak duit untuk membeli data?
“Upah kami mengutip buah sawit bukannya tinggi. Dalam sebulan kerjanya tak menentu, kadang-kala seminggu dua adalah kerja jika ada yang memerlukan kami untuk mengutip buah. Tapi kalau musim hujan memang tak boleh buat kerja,” katanya. – UTUSAN










