Birokrasi kerajaan rencat inovasi rakyat - Utusan Malaysia

Birokrasi kerajaan rencat inovasi rakyat

Pengasas Zull Design Autotronic, Zulkifli Haron menunjukkan sebahagian hasil kerjanya di Serendah, Selangor. - MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Kerenah birokrasi beberapa agensi kerajaan yang be­kerja terlalu ‘ikut buku’ didakwa menjadi punca rakyat di negara ini sukar untuk mencipta produk-produk inovasi sesuai dengan kepesatan teknologi terkini.

Sikap demikian bukan sahaja melambatkan proses kelulusan produk, tetapi juga merencatkan idea kreatif dalam kalangan pereka cipta yang mahu menyumbang kepakaran yang dimiliki untuk pembangunan negara dan masyarakat.

Keluhan itu diluahkan oleh pereka cipta tanah air terkenal, Zulkifli Haron, 62, kepada Mingguan Malaysia.

Dalam temu bual Selasa lalu, beliau yang juga terkenal sebagai ‘MacGyver Malaysia’ berkata, antara kelemahan sistem urus tadbir adalah kakitangan kerajaan yang terlalu bergantung kepada buku panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Masalah sebenar penjawat awam, apabila bekerja dia ikut buku panduan, ini masalahnya. Contoh kita buat rumah setingkat sahaja. Kenapa perlu ada arkitek sedangkan atas tanah kita.

“Kita nak buat reban ayam, tidak perlu lah nak panggil perancang bandar. SOP itulah faktornya wujud kelemahan. Ia dah tertulis dalam SOP dan buku panduan penjawat awam. Walau buat di tanah sendiri, kena ada kebenaran,” katanya.

Memberi contoh beliau berkata, antara sekatan termasuklah kerenah birokrasi yang memaksa rakyat mendapatkan kelulusan agensi tertentu, walaupun hanya untuk urusan kecil.

“Saya nak reka barang, terus tersangkut. Macam nak main dalam sungai, kena ada Jabatan Laut contohnya, sedangkan nak main rakit saja. Jadi di sinilah yang menyebabkan tersekatnya kreativiti. Kita boleh pergi jauh.

“Cuba tengok Thailand. Mereka ubah motosikal sampai jadi lori. Bertimbun-timbun di tengah jalan. Ekonomi dia naik. Sini tak boleh, basikal tambah tayar untuk orang cacat pun kena pergi Puspakom,” katanya.

Pada 1980-an, Zulkifli menggemparkan tanah air apabila memperkenalkan sejenis kereta ciptaannya yang mampu bergerak sendiri menggunakan arahan suara. Di samping itu, beliau juga dikenali dengan pelbagai ciptaan canggih yang menarik perhatian dunia.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerenah agensi swasta yang terlalu ‘cekik darah’ juga menyulitkan proses penciptaan sesebuah alatan canggih. Hal ini susulan sikap sesetengah syarikat yang terlalu mementingkan keuntungan, sehingga menawarkan harga yang terlalu rendah untuk servis dan produknya.

“Agensi swasta sangat-sangat menyokong. Tapi cekik darah pula. Nak untung lebih. Kalau suruh buat itu bajet sedikit. Nak murah, sebab dia nak dapat untung,” katanya.

Justeru, bagi menghadapi rintangan tersebut, beliau mengamalkan prinsip perniagaan berteraskan konsep tawar-menawar yang adil dan memberi manfaat kepada semua pihak. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN