KANGAR: Hasil padi atau beras negara boleh merosot sehingga 70 peratus dalam tempoh tujuh atau 10 tahun akan datang berdasarkan hasil pesawah yang semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pesawah dikatakan hanya mampu menghasilkan sekitar dua tan metrik padi bagi keluasan satu hektar berbanding tempoh lima ke tujuh tahun lalu yang mencecah sehingga tujuh tan metrik bagi keluasan sama.
Masalah tersebut sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana masa depan hasil beras negara selain nasib pesawah yang terus terhimpit akibat isu berkenaan selain terpaksa menanggung kerugian berterusan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, kemerosotan hasil padi sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin ketara dengan ada dalam kalangan pesawah hanya mampu menghasilkan sekitar dua tan metrik padi bagi keluasan satu hektar.
Menurutnya, kemerosotan tersebut dikatakan berpunca daripada isu benih dan racun yang tidak berkualiti sekali gus menyebabkan kualiti hasil padi setiap kali musim menuai menurun selain menyebabkan penyakit atau padi angin.
Kata beliau, terdapat jenis racun yang digunakan pesawah boleh merosakkan tanah sekali gus bakal memberi kesan kepada hasil padi.
“Sekitar tujuh atau 10 tahun lalu, keluasan satu hektar mampu menjana hasil sehingga enam ke tujuh tan metrik. Sekarang sudah jauh beza sekali gus memberi kesan cukup besar kepada para pesawah.
“Jika masalah ini berterusan, ia juga bakal memberi kesan kepada hasil beras negara dan tidak mustahil boleh merosot antara 60 sehingga 70 peratus dalam tempoh tidak sampai 10 tahun akan datang,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, hasil padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merosot kira-kira 150,000 tan metrik setahun yang dibimbangi jika berterusan akan menjejaskan bekalan beras negara.
Kemerosotan berpunca daripada lima masalah utama yang menghantui pesawah di Kedah dan Perlis terutama kelewatan penghantaran benih padi dan penghantaran baja yang tidak ikut jadual penanaman.
Selain itu, masalah infrastruktur seperti tali air tersumbat dan tanah jerlus serta isu orang tengah yang menindas petani turut menyumbang kepada kemerosotan tersebut.
Tahun lalu, akhbar ini melaporkan, beras yang dihasilkan dalam tempoh setahun menyaksikan Malaysia jauh terkebelakang iaitu sekitar 2.2 juta tan metrik berbanding negara-negara Asia lain seperti China (182 juta tan metrik); India (136 juta tan metrik); Indonesia (54 juta tan metrik); Vietnam (34 juta tan metrik); Thailand (29 juta tan metrik) Filipina (15.3 juta tan metrik) dan Korea Selatan, 6.3 tan metrik.
Sementara itu, Mohd. Shazwan berkata, pihak bertanggungjawab perlu memandang serius isu tersebut yang jika tidak diatasi dengan baik bakal menjejaskan hasil pengeluaran beras negara.
Selain itu, katanya, kaedah teknologi seperti penggunaan dron untuk tujuan racun dan menabur baja juga dilihat penting dalam menghasilkan padi lebih baik.
Sementara itu, seorang pesawah yang lebih 20 tahun mengusahakan tanaman padi, Sukardi Matt Dali,57, berkata, hasil padi musim ini hanya sekitar satu setengah tan metrik bagi keluasan dua hektar tanaman diusahakannya.
Katanya, jika dahulu, sawah padi yang diusahakannya mampu menjana hasil sehingga tujuh tan metrik bagi keluasan satu hektar.
“Antara faktor kemerosotan padi sejak kebelakangan ini berpunca daripada jadual tanaman yang berselerak. Jadual yang ditetapkan iaitu musim pertama pada bulan April dan kedua pada September kadangkala tidak diikuti oleh pesawah.
“Selain itu, sudah pastinya kualiti benih padi antara yang menjadi punca. Antaranya seperti penggunaan benih haram dari luar seperti Indonesia, Vietnam dan Indonesia yang tidak sesuai dengan tanaman di sini. Sejak tiga ke empat musim kebelakangan ini hasil sememangnya agak merosot,” katanya. – UTUSAN










