PETALING JAYA: Melanjutkan moratorium serta bantuan lain amat diperlukan buat kali kedua bagi suku pertama tahun 2021 dalam membantu rakyat yang terkesan dapat bertahan dalam tempoh masa yang sukar ini.
Pakar Ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, lanjutan moratorium adalah wajar buat masa ini sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.
“Lanjutan moratorium perlu diberikan terutamanya bagi golongan tersasar, mereka yang tidak dapat bekerja namun ia tidak termasuk industri yang dibenarkan beroperasi serta golongan yang berniaga sendiri.
“Ia amatlah diperlukan sekarang berikutan kita dalam tempoh darurat yang agak panjang sehingga Ogos ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Tambah Abu Sofian, langkah itu tidak akan menjadi masalah bagi pihak perbankan dan jika dilihat pada tempoh PKP pertama iaitu pada Mac tahun lalu, pihak bank masih mencatatkan keuntungan pada masa itu.
“Ia adil dan patut diberikan lanjutan moratorium pinjaman seperti mana moratorium pertama sebelum ini.
“Jika tak dibenarkan bekerja untuk tempoh dua minggu atau kemungkinan lebih, bagaimana mereka mampu membayar ansuran bank,” soalnya.
Terdahulu Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias mengatakan bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan semula cadangan untuk melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan lagi berikutan PKP selama dua minggu bermula semalam di enam buah negeri yang terlibat.
Katanya, kerajaan juga perlu mempertimbangkan cadangan penghapusan syarat i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan tiada lagi kategori 1 atau kategori 2.
Menurut Abu Sofian, KWSP juga perlu membenarkan para pencarumnya yang layak mengeluarkan caruman tanpa sebarang syarat tambahan mahupun dokumen sokongan.
“Selain itu, saya juga berpendapat pihak berwajib juga perlu memberikan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) serta agensi bukan kerajaan (NGO) kepada keluarga yang terkesan.
“Seperti golongan B40 serta golongan yang hilang punca pendapatan sama ada dalam bentuk wang mahupun barangan keperluan,” katanya. – UTUSAN









