KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sehingga 26 Januari ini berpotensi membuatkan lebih banyak syarikat di negara ini menanggung kerugian ekoran hanya lima sektor dibenarkan beroperasi.
Lima sektor yang disenaraikan itu juga dilihat tidak menyeluruh dan kerajaan sepatutnya membenarkan semua syarikat beroperasi dengan memperkenalkan syarat lebih ketat.
Lebih membimbangkan, sekiranya PKP itu berlanjutan terlalu lama, syarikat mungkin mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari sama seperti PKP sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan menyarankan kepada kerajaan untuk membenarkan semua syarikat beroperasi bagi membantu pertumbuhan ekonomi di samping menjaga periuk nasi rakyat.
Lima sektor dibenarkan beroperasi ialah pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.
“Lima sektor perkhidmatan penting ekonomi yang disenaraikan itu juga dilihat tidak menyeluruh.
“Saya pasti syarikat-syarikat akan dapat mengekang dan memastikan tidak ada jangkitan yang berlaku di tempat kerja,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mengulas lanjut, Shamsuddin menjelaskan, pelaksanaan semula PKP itu juga pasti akan memberi impak yang besar kepada peniaga serta syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Oleh itu, katanya, kerajaan patut melanjutkan program subsidi upah (PSU) kerana ia akan membantu syarikat-syarikat mengekalkan pekerjaan.
“Kalau tidak, jumlah pekerja yang diberhentikan pasti melebihi angka yang dicatatkan pada masa ini iaitu lebih 100,000 orang.
“Jumlah pakej rangsangan ekonomi dan PSU yang diberikan sebelum ini tidak melebihi 13 atau 14 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Walhal, jumlah subisidi yang diberikan di negara lain seperti Singapura, United Kingdom dan sebagainya mencecah 70 hingga 80 peratus,” katanya.
Beliau menekankan, walaupun jumlah yang diberikan di negara ini sedikit, namun ia masih mampu membantu majikan menguruskan syarikat atau perniagaan.
“Buat masa ini, sektor perhotelan dan runcit sahaja yang diberikan subsidi sehingga bulan Mac. Tetapi bagaimana pula dengan syarikat-syarikat lain yang juga terkesan,” soalnya.
Sementara itu, Naib Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Datuk Azlie Halim pula mengunjurkan sektor pelancongan bakal menanggung kerugian sehingga RM40 bilion bagi suku pertama tahun ini selepas kerajaan melaksanakan semula PKP.
Menurut Azlie, industri pelancongan telah mengalami kerugian menjangkau RM100 bilion tahun lalu dan gagal mencapai sasaran kehadiran 30 juta pelancong.
“Sejak kerajaan membenarkan pergerakan rentas sempadan baru-baru ini, sektor pelancongan dilihat mampu bernafas semula.
“Begitu juga dengan pakej rangsangan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2021 sebanyak RM200 juta yang diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sekali gus memberi nafas lega buat penggiat industri pelancongan,” ujar beliau. – UTUSAN










