BUKAN lagi rahsia rumah tangga yang dibinanya bersama Syamsul Yusof, kini dilanda badai. Berkongsi kesan emosi yang dilaluinya sebagai seorang isteri, kata pelakon ini dia pernah berada dalam fasa yang cukup rapuh dalam hidupnya.
Pernah menyalahkan takdir dalam mencari keselesaan dalam melalui dugaan hidupnya ini, ternyata formula yang digunakannya itu seakan memakan diri.
Tambah Puteri Sarah, dalam mengelakkan dirinya berada dalam situasi menyakitkan itu dia juga pernah menjadikan anak-anaknya sebagai mangsa melepaskan amarah. Namun apa sahaja yang dilakukan bagaikan tidak kena sehingga dia menemui jawapan yang selama ini hadir dengan harga yang cukup mahal.
“Dahulu bila ada rakan-rakan melalui pengalaman yang sama, kita hanya mampu cakap kena kuat untuk diri sendiri. Tetapi bila saya melaluinya sendiri baru saya faham keadaan itu. Bukan mudah untuk melalui fasa yang cukup menyakitkan itu untuk berada di mana saya kini.
“Bukan mengambil masa sekejap juga, apa yang boleh saya kongsikan dengan wanita lain yang mungkin melalui situasi yang sama, boleh bersedih tetapi jangan menyeksa diri terlalu lama. Saya pernah melalui keadaan apabila segala masalah boleh dilihat melalui air muka. Wajah yang cengkung tak ceria memang itu yang berlaku.
“Malah suatu ketika saya juga menjadikan anak-anak sebagai tempat melepaskan kemarahan. Menjerit ke arah mereka, mengabaikan mereka. Ingat balik situasi itu memang menyesal dan sangat sedih. Namun apa yang saya lalui ini juga secara tidak langsung menerbitkan kekuatan. Anak-anak adalah jawapannya. Sebab saya tahu jika apa yang berlaku ini berterusan, mereka akan terus menjadi mangsa dalam keadaan ini,” katanya.
Menguraikan segala emosi yang berlaku dalam tempoh yang cukup berat buat dirinya sebagai seorang isteri dan ibu, kata wanita berusia 35 tahun ini , antara sebab dia berada dalam keadaan itu juga kerana sentiasa beranggapan cukup selesa dengan hidupnya selama ini.
“Tidak pernah terfikir saya akan melalui situasi ini, malah selama beberapa tahun ini saya cukup selesa menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu. Tetapi itulah sebenarnya yang cukup bahaya. Bila kita rasa terlalu selesa tanpa memikirkan kemungkinan yang akan berlaku.
“Selepas semuanya terjadi sedikit demi sedikit emosi ini memakan diri saya. Pernah suatu ketika saya menyalahkan diri merasakan saya tidak cantik dan menjadi punca apa yang berlaku,”kata ibu kepada Syaikhul Islam, tiga tahun dan Sumayyah, satu tahun.
Tiada dendam
Ketika ada yang meneka apa yang berlaku dalam mahligai berusia enam tahun ini, bagi Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin sebagai manusia biasa dia juga menyimpan dendam. Namun tidak mahu terbawa dengan perasaan merugikan itu kala ini, ada cara untuk dia mengabaikannya.
“Tipulah tiada perasaan itu. Sebagai manusia biasa kadang terfikir jadi geram juga. Tetapi sekarang saya cuba abaikan perasaan itu dan caranya sibukkan diri. Bekerja, pergi ke gim, bercuti dengan anak-anak, tidak mahu fikir sangat.
“Dalam tempoh ini, agama adalah tunjang dalam apa-apa juga penyelesaian dalam setiap masalah. Saya cuba penuhkan apa yang kurang dengan ilmu agama yang secara tidak langsung turut membantu mengharungi keadaan ini dengan baik,” kata pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie ini.
Tidak mahu lagi mencari salah, kongsi Sarah ketika ini dia hanya mahu zahirkan pemikiran positif dalam melahirkan kehidupan yang jauh lebih bermakna.
“Bila kita berada dalam keadaan sedih dan tidak bersedia, secara automatik dapat memberi kesan bukan sahaja kepada pemikiran tetapi juga penampilan kita. Sebab itu, jangan ambil masa terlalu lama untuk sedar perkara itu.
“Apa yang saya lakukan sekarang benar-benar memberi kesan yang baik secara keseluruhan. Bila kita jaga tubuh badan, secara tidak langsung emosi kita turut terjaga. Perubahan yang berlaku ini secara tidak langsung memberi kelebihan untuk saya menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya yang baru menghabiskan penggambaran drama Jangan Curi Hati Saya.
Jawapan pada 2021
Meninggalkan tahun 2020 dengan persoalan mengenai rumah tangganya, sehingga kini bukan rahsia untuk pelakon ini mendedahkan hubungannya dengan suami dalam fasa pemulihan mencari penyelesaian.
Malah ketika ketika temu ramah ini dibuat, tiada jawapan yang mampu menjelaskan emosi yang melanda dirinya ketika ini. Enggan membiarkan ini terus berlarutan, ada janji yang dibuat Sarah kepada pembaca Pancaindera.
Melihat tahun 2021 sebagai waktu yang sesuai untuk dia merungkai segala apa yang berlaku kongsi pelakon jelita ini, apa yang diperlukan adalah doa ikhlas untuk memberi ruang dirinya terus kuat.
“Insya-Allah tahun ini akan menjelaskan apa juga kekeliruan yang melanda hubungan kami. Mungkin dalam waktu terdekat ini sahaja untuk mendapatkan jawapannya.
“Sebagai seorang ibu, saya juga tidak mahu pengakhiran yang buruk untuk keluarga kami. Namun apa juga yang akan berlaku sebagai seorang hamba, saya akan sentiasa reda dan menerimanya,” katanya ringkas.
Sementara itu bercakap mengenai kerjaya lakonannya yang kembali rancak, kata Sarah sebagai anak seni, dunia lakonan tidak akan pernah dilupakan. Mengakui apa yang berlaku ini juga menyebabkan dia kini kembali bergelar seorang pelakon sepenuh masa, namun ada had yang ditetapkan dirinya.
“Saya bekerja untuk diri sendiri. Memang saya nampak mewah sebelum ini tetapi apa yang dilihat itu duit suami. Ini antara nasihat saya, wanita perlu ada sumber kewangan sendiri. Jadi selain mahu memastikan waktu terluang saya digunakan dengan baik, ini juga pekerjaan untuk saya.
“Selain itu, perniagaan kosmetik saya juga mendapat sambutan baik saat ini. Sebagai pemilik produk kecantikan juga antara sebab mengapa saya menitikberatkan penampilan kini.
“Cuma di sebalik kesibukan hidup, kini ada janji yang saya tidak akan mungkir. Sebagai seorang ibu tidak akan sesekali saya mendahulukan kerjaya, memandangkan anak-anak akan kekal menjadi keutamaan,” jelasnya. – Pancaindera










