PUTRAJAYA: Harga bayaran ujian saringan Covid-19 kepada warganegara dan bukan warganegara telah ditetapkan dalam peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada tahun lalu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, harga berkenaan untuk semua kaedah ujian saringan seperti Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) dan ujian pengesanan antibodi bagi kepada warganegara dan bukan warganegara.
Justeru beliau berkata, Kementerian Kesihatan menyarankan hospital swasta menggunakan peraturan itu sebagai penanda aras agar tidak mengenakan caj terlampau tinggi kepada pesakit Covid-19.
Bagaimanapun, pihaknya sedang dalam perbincangan bersama hospital dan makmal swasta berhubung perkara itu.
“Masih ada dakwaan kos saringan Covid-19 RT-PCR dan RTK-Ag masih terlalu mahal. Perkara ini sedang dalam perbincangan antara Kementerian Kesihatan, hospital swasta dan makmal swasta.
“Setakat ini Kementerian Kesihatan belum lagi mewartakan peraturan ke atas Akta Makmal Patologi,” katanya semalam.
Dalam laporan eksklusif Utusan Malaysia, beberapa hospital swasta didakwa cuba mengaut keuntungan terhadap individu yang ingin melakukan pemeriksaan kesihatan Covid-19 dengan mengenakan caj mencecah hampir RM1,000 untuk satu kepala menggunakan kaedah RT-PCR.
Berikutan itu, pelbagai pihak menyarankan kerajaan perlu segera campur tangan dengan menetapkan garis panduan caj saringan kesihatan Covid-19 di hospital dan klinik swasta supaya kemudahan saringan swasta dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Dalam pada itu, Adham berharap perbincangan boleh dimuktamadkan dengan kaedah dan persetujuan awam-swasta.
Katanya, langkah ini sedang dilaksanakan melalui Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan pembekal kesihatan swasta.
“Harap perbincangan berterusan boleh dimuktamadkan dengan kaedah dan persetujuan awam swasta yang sedang dilakukan sekarang oleh Ketua Pengarah Kesihatan dan pihak pembekal kesihatan swasta,” ujarnya. – UTUSAN










