78,000 individu diburu polis - Utusan Malaysia

78,000 individu diburu polis

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 78,026 individu berada dalam senarai orang dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana terlibat dalam pelbagai jenayah dengan sebahagian besarnya berkaitan dadah dan penipuan.

Sebahagian daripada indi­vidu ber­kenaan dipercayai ma­sih berada di negara ini. Po­lis juga percaya ada yang individu yang diburu telah melarikan diri ke luar negara.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kesalahan pa­ling tinggi yang membabitkan penjenayah paling dikehendaki adalah membabitkan jenayah narkotik, sekali gus menjadikan masalah dadah serius di negara ini.

Katanya, sebanyak 43,172 orang terdiri daripada ahli sin­diket dadah dan juga penagih diburu.

Dalam pada itu kata Abdul Hamid, sebanyak 18,497 orang pula adalah mereka yang diburu membabitkan kesalahan jenayah komersial termasuk suspek penipuan dan pengubahan wang haram.

Jelasnya, bagi kesalahan jenayah pula, sebanyak 16,109 orang disenaraikan sebagai individu dikehendaki apabila adanya maklumat atau ketera­ngan yang menjuruskan kepada pengli­batan mereka dalam kes jenayah.

“Kes jenayah yang dilakukan termasuk semua kesalahan di bawah kes jenayah indeks iaitu jenayah kekerasan dan jenayah harta benda. Selain terlibat kes-kes di bawah jenayah indeks, seseorang individu itu juga akan diletakkan di bawah senarai orang dicari jika ada maklumat atau keterangan yang mereka terlibat dalam sebarang kes lain.

“Sebagai contoh kes-kes di bawah Akta Culik, Senjata api dan lain-lain akta kanun keseksaan,” katanya di sini semalam.

Abdul Hamid memberitahu, sebanyak 248 individu juga berada di dalam senarai mereka dikehendaki atas kesa­lahan trafik.

Jelas beliau, bagi kesalahan trafik hanya kes-kes yang boleh ditangkap (seizable offence) di bawah Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 akan diletakkan di dalam senarai itu.

“Kesalahan-kesalahan itu termasuk di bawah Seksyen 41, 42, 44 dan 45 APJ 1987 yang mana kebiasaannya orang kena tuduh itu gagal atau tidak hadir ke mahkamah untuk dituduh dan menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam senarai mereka dikehendaki,” katanya.

Ketika ditanya sama ada orang dikehendaki ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) sepanjang Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Abdul Hamid mengakui ada.

Namun kata beliau, jumlah­nya tidak ramai.

“PDRM sentiasa mengemas kini data mereka yang dikehendaki dari semasa ke semasa bagi mengesan dan menangkap individu berkenaan. Kita sama sekali tidak biarkan mereka terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu hasil semakan Utusan Malaysia di laman portal rasmi PDRM mendapati terdapat 15 individu sebagai orang dikehendaki atas pelbagai kesalahan sejak 2003.

Kesemua individu tersebut merupakan data terkini yang dikemas kini PDRM di portal itu yang merangkumi nama, alamat, nombor kad pengenalan dan laporan serta kesalahan yang dilakukan mereka.

Mereka dikehendaki bagi membantu siasatan mengenai kes bunuh, culik selain kes berkaitan penipuan menggunakan cek-cek palsu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN