JOHOR BAHRU: Lelaki Malaysia kini lebih cenderung memilih wanita Batam, Indonesia untuk menjadi pasangan berpoligami kerana dikatakan memiliki ciri-ciri seperti wanita Melayu di zaman 1950-an yang taat dan pandai melayan suami.
Difahamkan, kira-kira 40 pasangan dalam sebulan memohon pendaftaran perkahwinan di negeri ini selepas melangsungkan pernikahan dengan wanita Batam di negara jiran itu.
Menurut sumber yang juga bekas kadi, hampir 90 peratus pemohon itu melibatkan lelaki yang mahu mengamalkan poligami tanpa dihidu isteri dan keluarga di tanah air.
Katanya, meskipun mereka yang melangsungkan pernikahan secara ‘diam-diam’ itu sah dari sudut syarak, namun bakal berdepan masalah sekiranya perkahwinan gagal didaftarkan di negara ini termasuk dalam urusan kelahiran anak dan tuntutan harta.
“Jadinya mereka perlu mendaftarkan perkahwinan di pejabat agama setelah mendapat kebenaran mahkamah syariah. Sebelum itu, pasangan suami isteri wajib mengemukakan bukti pernikahan mereka sama ada sah atau sebaliknya. Sekiranya cukup bukti, mahkamah syariah akan mengeluarkan kebenaran perkahwinan sebelum pernikahan didaftarkan.
“Dalam soal ini ramai ingat poligami kena minta kebenaran isteri, sebenarnya tidak. Dalam soal ini, mahkamah syariah sahaja yang keluar kebenaran dengan melihat beberapa faktor, bukannya dengan kebenaran isteri pertama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, beliau yang pernah bertugas sebagai pegawai penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mendedahkan terdapat kes keabsahan jurunikah Batam sekali gus menyebabkan status pernikahan pasangan suami isteri itu menjadi persoalan.
Katanya, terdapat jurunikah tidak mempunyai tauliah malah permit pernikahan sudah tamat tempoh sekali gus menyebabkan pasangan suami isteri berhadapan kesukaran ketika proses pendaftaran perkahwinan di sini.
“Di Batam hanya tiga individu dibenarkan menjalankan pernikahan iaitu dua pegawai agama di peringkat daerah dan wilayah serta penghulu. Tetapi dalam kes keabsahah nikah, terdapat pasangan menggunakan jurunikah dengan sesiapa sahaja.
“Contohnya ada kes imam diberikan tauliah, sedangkan tidak. Jadi apabila mereka pulang ke Johor untuk daftar nikah akan timbul masalah.
“Ramai ingat nikah di Batam senang, hakikatnya prosedur ketat sama seperti di Malaysia. Jurunikah tidak bertauliah ini mengambil kesempatan sehingga mengenakan bayaran beribu-ribu ringgit,” katanya. – UTUSAN










