PUTRAJAYA: Bilangan kes positif jangkitan Covid-19 di negara ini terus kekal tinggi dengan 1,340 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhannya 93,309.
Semalam, Selangor terus kekal merekodkan kes harian baharu tertinggi 441 kes diikuti Kuala Lumpur (284) dan Sabah (196).
Sehingga kini, terdapat 116 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana 57 kes memerlukan bantuan pernafasan dan empat kes kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 1,340 kes baharu direkodkan yang menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 93,309 kes.
Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 15,563 kes.
Katanya, sebanyak tiga kluster baharu direkodkan yang membabitkan tempat kerja di Kuala Lumpur, Sabah dan Johor.
“Selain itu, sebanyak 134 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (58 kes), Kluster Tembok Gajah (56 kes), Kluster Tembok (10 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (8 kes) dan Kluster Penjara Kepayan (2 kes).
“Bagaimanapun, sebanyak 1,067 kes sembuh direkodkan yang menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 77,309 kes,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas mengenai tiga kluster baharu, Dr. Noor Hisham berkata, terdapat tiga kluster tempat kerja iaitu Kluster Tapak Bina Metropolis di Kepong, Kuala Lumpur, seramai 481 individu disaring, yang mana 147 kes positif.
“Kluster Estate Maju di Kota Kinabalu, Putatan dan Tuaran, Sabah, seramai 63 individu disaring dan didapati 28 kes positif manakala Kluster Batu 39 di Pontian, Johor, seramai 152 individu disaring, di mana 28 kes positif,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 199 kluster aktif dipantau dan daripada jumlah itu, sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Metropolis, (140 kes), Kluster Ceram (107 kes), dan Kluster Penjara Jalan Harapan (58 kes),” katanya. – UTUSAN










