KUALA LUMPUR: Akta Lompat Parti dan Akta Dana Politik perlu segera diperkenalkan jika mahu melihat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti ‘bersih’ seterusnya memastikan kestabilan politik terjamin.
Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, selagi akta-akta itu tidak dikuatkuasakan, selagi itulah rakyat mungkin terus berdepan pergolakan serta ketidaktentuan politik termasuk terbaru yang berlaku di Perak, baru-baru ini.
“Bagi membendung masalah ini, tiba masanya kita memperkenalkan Akta Anti Lompat Parti dan Akta Dana Politik.Selagi rasuah politik tidak dibanteras dahulu dan tiada akta-akta sebegini, kestabilan politik susah wujud dan dikhuatiri pergolakan politik berterusan yang kita saksikan dalam tempoh setahun kebelakangan ini termasuk terbaru di Perak akan terus berlaku.
“Sekarang nak kekal jawatan terpaksa bagi jawatan ‘trade off trading’. Selagi benda ini tidak jadi kesalahan jenayah, orang politik akan terus buat,” katanya dalam temu bual bersama Utusan Malaysia di sini.
Menurut Akhbar yang juga Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, integriti dan kejujuran intelek (intellectual honesty) adalah perkara paling sukar ditemui dalam kalangan pemimpin hari ini.
Jelasnya, faktor paling utama untuk seseorang pemimpin dihormati ialah integriti yang tidak boleh dipersoal.
“Di Malaysia, bukan sahaja integriti tetapi kejujuran inteltual juga tidak berapa nak ada. Maksudnya, perbuatan tidak selari dengan perkataan, janji tidak ditunaikan.
“Golongan ini masuk politik bukan untuk bantu rakyat tetapi untuk cari harta dan kuasa,” ujarnya. – UTUSAN










