IPOH: Semua parti di Perak tiada majoriti mutlak iaitu sekurang-kurangnya mempunyai 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Mengambil situasi politik di Perak, kelmarin Pas tidak menyokong pembentukan kerajaan baharu, manakala suara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sangat kecil dengan hanya empat ADUN yang memihak, diibaratkan meniti di lantai kaca yang nipis.
Kini, penyelesaian kemelut politik negeri Perak terletak sepenuhnya di tangan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Semalam, kerajaan negeri Perak terbubar secara rasmi ekoran peletakan jawatan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang mana turut menyebabkan kesemua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) turut tergugur sama.
Malah, pakar perlembagaan mencadangkan agar pilihan raya negeri (PRN) diadakan sebagai jalan terbaik menyelesaikan kemelut berkenaan sekiranya kesemua parti masih buntu mendapatkan satu formula yang disepakati semua.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menasihatkan semua pemimpin parti politik di negeri ini agar mencari formula terbaik bagi menubuhkan kepemimpinan baharu kerajaan negeri.
Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, nasihat itu disuarakan baginda dalam pertemuan dengan beberapa pemimpin tertinggi parti politik di Istana Kinta.
Katanya, selepas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menghadap Sultan Nazrin kelmarin, tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) Perak diikuti Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad turut menghadap baginda semalam.
“Pagi tadi (semalam), tiga pemimpin PH diperkenan menghadap Sultan Nazrin yang mana mereka menyembah maklum pandangan kepada baginda tentang keadaan semasa dan pendirian PH dalam suasana politik di Perak diikuti Pengerusi UMNO Perak.
“Segala pandangan mereka itu didengari tetapi bukanlah tanggungjawab baginda untuk campur tangan dalam urusan parti masing-masing. Baginda hanya boleh menasihatkan dan carilah formula terbaik untuk menubuhkan kerajaan dan pimpinan baharu di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Istana Kinta di sini semalam.
Menurut Mohd. Annuar, Sultan Nazrin turut berkenan menerima menghadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada pukul 10 pagi ini.
Beliau memberitahu, pihaknya difahamkan masih berlaku perundingan antara parti politik, malah, UMNO juga mengadakan mesyuarat perhubungan khas parti malam tadi.
Sementara itu, penganalisis politik yang juga felo penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Achmad Dzarien Mohd. Nadzri berkata, PRN mungkin jalan terbaik bagi menentukan keabsahan kerajaan negeri sekiranya pemimpin politik Perak gagal mencari formula terbaik menentukan parti mana yang paling majoriti.
Katanya, usul undi percaya walaupun berjaya dibawa pada Sidang DUN hingga mengakibatkan Ahmad Faizal hilang majoriti, natijahnya, mencetuskan satu lagi kemelut politik.
“Sehingga hari ini, tiada parti politik yang menjadi majoriti manakala kerjasama politik melalui UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) juga meruncing selepas Pas secara terang menyatakan tidak menyokong kerajaan baharu Perak melalui kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.
“Itu yang menjadi isu, jika UMNO dan PN termasuk Pas memberikan sokongan, ia tidak menjadi isu besar, masalahnya sekarang Pas secara terang menyatakan tidak akan sertai pembentukan kerajaan baharu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam. – UTUSAN ONLINE










