OLEH ANUAR AHMAD
SUDAH hampir 10 bulan lamanya sistem pendidikan negara berada di dalam tempoh pandemik Covid 19. Sebelumnya, kita sering dikhabarkan sistem pendidikan negara sudah memasuki era teknologi pendidikan terkini. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 seringkali digunakan untuk menghujahkan sistem pendidikan negara setanding negara maju.
Apabila pandemik Covid- 19 melanda negara pada Mac 2020, sesi persekolahan terpaksa ditutup dan ketika itu kita tiada pilihan lain selain laksanakan pembelajaran dalam talian, barulah kita tahu negara ini masih tidak bersedia dalam pembelajaran dalam talian.
Hasil kajian Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan 36.9 peratus pelajar negara ini tidak mempunyai peranti elektronik. Maksudnya seorang bagi setiap tiga orang pelajar di negara ini tidak ada peranti elektronik di rumah mereka. Kajian ini juga melaporkan hanya enam peratus mempunyai komputer peribadi dan hanya sembilan peratus memiliki komputer riba.
TIADA AKSES INTERNET
Angka-angka rasmi ini membuktikan sistem pendidikan negara tidak berupaya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam talian secara berkesan dan menyeluruh kerana terlalu ramai pelajar tidak memiliki prasarana dan akses pembelajaran dalam talian walaupun pada tahap paling minimum. Lebih menyedihkan, di negeri-negeri mempunyai kadar kemiskinan tinggi, jumlah pelajar yang tiada peralatan dan akses internet juga jauh lebih tinggi. Di Sabah misalnya, menunjukkan 52 peratus pelajar tidak mempunyai langsung akses kepada internet dan tiada komputer peribadi, komputer riba mahupun telefon.
Semua data ini membuktikan sedang berlaku ketidakadilan pendidikan antara kumpulan kaya dan berkeupayaan memiliki peranti elektronik dan akses internet berbanding kumpulan miskin dan pedalaman yang berhadapan dengan ketiadaan kemudahan teknologi untuk meneruskan pembelajaran.
Oleh itu, keputusan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam talian adalah sesuatu yang tidak sesuai dan perlu diteliti semula. Jika diteruskan, ini akan mewujudkan kesenjangan pencapaian pendidikan dan akhirnya meningkatkan jurang antara kumpulan kaya dengan kumpulan miskin.
Berdasarkan data rasmi ini juga dalam tempoh hanya 10 bulan kita berhadapan pandemik Covid-19 ini, kadar keciciran pendidikan meningkat dari 0.12 peratus kepada 0.13 peratus dalam kalangan 2,741,837 pelajar sekolah rendah dan 1.14 peratus kepada 1.26 peratus dalam kalangan 2,037,433 pelajar sekolah menengah.
Tentu sahaja salah satu faktor menyumbang kepada peningkatan keciciran pendidikan ini berpunca daripada ketidakmampuan pelajar mengikuti pengajaran dalam talian.
KEADILAN
Antara alasan yang dihujahkan apabila KPM mengambil keputusan menutup sesi persekolahan seluruh negara sehingga awal Januari tahun depan adalah bagi memastikan tiada pelajar ketinggalan jika ada sekolah dibuka dan ada ditutup. Kerajaan cuba berlaku adil pada semua pelajar.
Keputusan ini akan menyebabkan wujud keadilan akses pendidikan antara wilayah. Misalnya, bila ada arahan PKPB di beberapa negeri, sekolah di negeri lain juga walaupun zon hijau tetap ditutup. Nampaknya keputusan ini seperti adil pada semua.
Tetapi apa yang sebenarnya berlaku apabila semua sekolah ditutup dan pembelajaran dalam talian diteruskan, wujud ketaksamaan ketara akses pendidikan antara kumpulan kaya dan keluarga miskin. Wujud juga keadaan kesenjangan pendidikan yang besar antara anak-anak yang tinggal di bandar dan di kawasan pedalaman.
Apabila semua sekolah ditutup, KPM berjaya menguruskan keadilan akses pendidikan mengikut zon tetapi belum tentu dapat mencari jalan menguruskan keadilan akses pendidikan mengikut kaya-miskin pelajar atau bandar-pedalaman.
KURANG BERKESAN
Menteri Kanan (Pendidikan) Pelajaran, Dr. Mohd. Radzi Jidin sendiri mengakui pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian didapati kurang berkesan berbanding bersemuka.
Banyak kajian di luar negara termasuk oleh UNICEF dan OECD juga menunjukkan keputusan yang hampir sama. Kebergantungan sepenuhnya sistem pendidikan negara pada pengajaran dan pembelajaran atas talian adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku di dalam sistem pendidikan formal.
Antara sebabnya, amalan pedagogi guru masih bersifat konvensional walaupun berada dalam persekitaran pengajaran dalam talian.
Misalnya, ramai guru masih amalkan penyampaian pengajaran sehala kepada pelajar dalam tempoh agak panjang pada setiap sesi pengajaran dalam talian.
Pelajar secara pasif hanya mendengar dan mencatat nota. Ini adalah kaedah pengajaran konvensional. Amalan pengajaran atas talian adalah pembelajaran aktif berasaskan projek, penyelesaian masalah bermodul, bimbingan melalui komunikasi dua hala, sesi perbincangan- pembentangan dan menekankan kemahiran mencari bahan pembelajaran secara kendiri. Amalan seperti ini bukan amalan kebanyakan guru di negara ini. Ada tetapi belum meluas.
HILANG MOTIVASI
Kita tidak tahu sampai bila akan berdepan dengan isu pandemik Covid-19 ini. Belum tentu juga sekolah akan dibuka pada Januari depan. Tetapi selepas 10 bulan melalui sistem pendidikan dalam persekitaran pandemik Covid-19, nyata sekali sistem pendidikan kita belum bersedia melaksanakan pengajaran dan pembelajaran atas talian.
Apa sepatutnya dilakukan adalah pertimbangan sekolah di zon hijau dibuka setiap hari dan sekolah zon kuning harus dibuka dengan kehadiran bergilir untuk meningkatkan penjarakan fizikal. Sekolah hanya dibuka dengan pelaksanaan SOP ketat di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan.
Sementara sekolah di zon merah kekal ditutup. Bagi membantu sekolah di zon merah, KPM harus menyediakan bantuan khas bahan pembelajaran bercetak untuk diedarkan pada pelajar. Melalui kaedah ini sekolah dapat melakukan ‘penjejakan’ dan pemantauan jika ada pelajar yang menunjukkan ciri-ciri keciciran akademik seperti hilang motivasi belajar.
Menutup semua sekolah bukanlah keputusan tepat untuk tempoh masa lama. Kebimbangan kita, akibat sesi sekolah ditutup dan kerana ketiadaan peranti dan akses internet ramai pelajar mula hilang motivasi belajar dan berisiko tinggi tercicir dalam pendidikan.
Hari ini kita mula mendengar pelajar tidak lagi belajar di rumah sebaliknya ada yang mula bekerja dengan mengambil upah. Ada juga yang berniaga kecilan dan tidak lagi menggunakan masa mereka untuk belajar di rumah. Apakah kita mahu situasi sebegini berterusan? – Mingguan Malaysia
Anuar Ahmad
Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti Fakulti Pendidikan UKM.










