ALOR SETAR: Penutupan pintu sempadan negara berikutan pandemik Covid-19 tidak menghalang pasangan Malaysia bernikah menggunakan khidmat jurunikah Thailand yang dilakukan secara online.
Nikah online membabitkan pasangan Malaysia bermula apabila sempadan negara ditutup susulan penularan wabak Covid-19 Mac lalu.
Sejak itu muncul beberapa ejen di negeri ini dan Perlis menawarkan khidmat nikah online Siam. Ada dakwaan nikah online Siam `berjangkit’ dari Selangor yang membenarkan pasangannya bersatu secara atas talian.
Seorang bekas ejen nikah Thailand yang mahu dikenali sebagai Rahman, 48, berkata, kaedah nikah dalam talian lebih murah, mudah, cepat dan kurang berisiko.
“Pasangan Malaysia hanya perlu hadir di lokasi tertentu di negeri ini atau di Perlis bagi urusan pernikahan secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, kemunculan ejen-ejen nikah Siam online mula menerima banyak tempahan pasangan Malaysia hanya beberapa hari selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan pasangan negeri itu bernikah secara atas talian.
“Peluang tersebut direbut ejen-ejen mempromosi nikah Siam online dan rupanya ia mendapat sambutan kerana pasangan tersebut tidak perlu mengambil risiko rentas sempadan,” cerita Rahman.
Mengulas lanjut, kata Rahman, pasangan yang bernikah melalui kaedah itu akan menerima surat nikah dan dokumen-dokumen lain yang didakwa sah dalam masa beberapa hari.
Selain itu, kata lelaki itu, ejen yang menguruskan pernikahan secara online akan mengambil bayaran RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap pasangan.
“Bagaimanapun, saya tidak dapat memastikan jumlah pasangan yang bernikah secara dalam talian yang diuruskan ejen terbabit pada setiap hari,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan jumlah perkahwinan di Thailand merosot sehingga 70 peratus sepanjang tahun ini.
Namun bagi Rahman, kemerosotan nikah yang dilaporkan hanya membabitkan pasangan yang memilih memasuki Thailanda dan dinikahkan `secara fizikal’.
“Pasangan pergi nikah sampai ke Thailand mungkin merosot tetapi ia boleh dilakukan secara online seperi dilakukan di negara ini,” katanya.
Sementara itu, seorang wakil ejen nikah di Thailand yang mahu dikenali Tajudin, 42, pula berkata, kira-kira 100 pasangan dari Malaysia bernikah di selatan Thailand pada setiap bulan selepas kerajaan negara jiran itu membuka semula pintu sempadan, Julai lalu.
Katanya, pasangan tersebut akan membuat pengisytiharan memasuki negara jiran itu atas urusan perniagaan.
Malah katanya, mereka juga bersedia menjalani perintah kuarantin antara lapan hingga 14 hari di beberapa hotel di wilayah selatan negara itu sebelum melangsungkan pernikahan.
Pada 1 Julai lalu, kerajaan Thailand membuka semula sempadan negaranya kepada pelawat asing termasuk pelabur, ahli perniagaan dan pelancong merentas negara.
Difahamkan, pembukaan sempadan negara itu turut diambil kesempatan pasangan yang mahu bernikah memasuki negara jiran itu tetapi dengan alasan menguruskan perniagaan atau terlibat dalam perniagaan. – UTUSAN










