Biarpun sudah lebih lapan tahun dalam bidang penjagaan wanita berpantang, popularitinya bagai menggila sebaik sahaja penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut memilih perkhidmatan penjagaan selepas bersalin yang ditawarkan.
Menyediakan dua orang konsultan berpantang atau confinement lady (CL) untuk menjaga penyanyi tersebut sepanjang tempoh berpantang, sejujurnya peluang tersebut sudah lama diintai oleh Suzita Wirjon, 39, sejak mengetahui khabar Siti Nurhaliza mengandung anak sulung.
Pengasas Natalis Mother Care & Beauty (Natalis) itu juga tidak pernah terfikir jenama yang dibinanya akan menjadi popular sebegitu selepas memutuskan untuk menyasarkan perkhidmatannya kepada golongan artis.
Jelas ibu kepada tiga orang anak itu, semuanya berlaku secara tidak sengaja ketika pada awal penglibatannya dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan berpantang, apabila pelakon Liyana Jasmay mahu mendapatkan pakej rawatan yang disediakan.
“Liyana merupakan artis pertama yang mendapatkan perkhidmatan Natalis. Ketika itu, syarikat ini tidak popular mana, namun dia mempercayai perkhidmatan yang kami sediakan.
“Dari situ, lama-kelamaan Natalis yang sebelumnya hanya dikenali dalam kalangan orang biasa, mula mendapat perhatian dan permintaan golongan artis memandangkan pakej yang kami sediakan menawarkan harga berpatutan,” jelasnya.
Menyorot perjalanan Natalis, ujar Suzita, semuanya bermula apabila dia merasai sendiri kesukaran untuk menguruskan diri ketika berpantang jauh daripada ibu dan ibu mertua.
Sememangnya ibu atau ibu mertua insan terpenting untuk wanita yang dalam pantang bagi sekurang-kurangnya mendapatkan nasihat mahupun membantu menjaga bayi.
Katanya, ketika melahirkan anak sulung pada sekitar 2007, dia terpaksa menetap di Sarawak kerana mengikut suaminya bekerja sebagai pegawai tentera.
Jadi, untuk tidak mahu menyusahkan ibu, dia mengambil keputusan berpantang sendiri.
Ketika itu, Suzita dan suami merasai sendiri kesukaran untuk menguruskan diri masing-masing kerana semua perkara perlu dilakukan tanpa pertolongan sesiapa, malah bidan pun amat sukar dicari.
“Dahulu biasanya orang-orang tua di kampung sahaja akan menguruskan wanita berpantang. Lazimnya, hanya menyediakan pakej mengurut, bertungku serta membantu ibu menyediakan jamu tertentu. Selebihnya ibu itu akan melakukan sendiri seperti memakai bengkung, memasak, memandikan bayi serta menguruskan hal seharian.
“Jika anak seorang, mungkin tidak banyak masalah, tetapi jika sudah ada beberapa orang anak agak sukar untuk melakukan semua benda dalam keadaan badan tidak kuat.
“Ketika saya melahirkan anak kedua dua tahun kemudian, saya terfikir mahu buat secara serius bidang penjagaan ibu berpantang selepas mengikuti kursus perbidanan serta belajar sedikit ilmu daripada nenek belah suami,” katanya.
Pernah bekerja di spa kecantikan, Suzita, yang turut mempunyai kemahiran mengurut peranakan wanita mengakui, tidak mudah sampai ke tahap sekarang memandangkan dia memulakan perniagaan itu bersendirian.
Sanggup menggadai kereta demi mencari modal untuk memulakan perniagaan, Suzita memberitahu, ketika itu amat sukar untuk mencari bidan yang mempunyai kemahiran mengurut dan bertungku.
“Saya memulakan perniagaan ini selepas saya berpindah ke Semenanjung dan suami memberi sokongan sehingga sanggup menggadaikan kereta bagi membolehkan saya membeli bahan-bahan untuk menjalankan rawatan berpantang.
“Ketika itu, dalam poket memang tidak ada duit. Saya hanya mengharapkan pelanggan membayar pakej yang diambil dan gunakan semula wang itu untuk membeli barang. Ketika itu, saya memang tidak mengambil wang pendahuluan (deposit).
“Pernah berlaku duit yang ada hanya cukup-cukup bayar minyak dan tol untuk sampai ke rumah pelanggan,” jelasnya yang mencari pelanggan hanya dengan mempromosikan dalam blog.
Cabaran konsultan berpantang lari
Selepas tujuh bulan memulakan perkhidmatan, Suzita mengakui, nama Natalis semakin dikenali tetapi dia berdepan pula dengan kesukaran mencari konsultan berpantang (CL) berpengalaman, malah pada satu ketika hampir berputus asa apabila CL yang ada lari.
Katanya, mengekalkan CL merupakan cabaran paling sukar dalam bidang berkenaan kerana ia melibatkan soal pengalaman dan kemahiran.
Kebolehan seseorang CL yang akan menentukan kepuasan pelanggan dan lazimnya apabila seseorang CL itu sudah mahir, lebih mudah untuk dia mencari pelanggan sendiri.
Ujarnya, hampir kesemua CL Natalis merupakan wanita berasal dari Indonesia berusia 30 tahun ke atas dan beragama Islam, serta mempunyai minat dalam bidang berkenaan.
“Natalis memang mementingkan CL yang mempunyai pengalaman. Mereka akan diberi latihan selama dua minggu sebelum memulakan kerja, termasuk CL telah mempunyai kemahiran kerana kita mahu selaraskan perkhidmatan yang diberikan.
“Pernah ada satu kejadian yang mana pelanggan telah membayar pakej berpantang bernilai RM4,000, namun CL yang sepatutnya tidak datang. Dengan kadar segera, saya terpaksa mencari CL lain sebagai ganti dan dalam kes seperti ini bukan perkara yang boleh diambil mudah kerana tempoh berpantang merupakan perkara penting buat seorang wanita.
“Tidak boleh sesuka hati untuk suruh mereka yang tidak berpengalaman menggantikan begitu sahaja. Ini antara risikonya berada dalam bidang seperti ini.
“Selain itu, menjaga kerahsiaan pelanggan amat penting jika mahu bertahan lama dalam bidang ini. Sudah pasti jika menjaga golongan selebriti, ramai yang ingin bergosip tentang banyak benda,” ujarnya.
Menurut Suzita, tidak mudah untuk mengekalkan nama baik sesebuah syarikat yang menguruskan perkhidmatan perbidanan memandangkan penjagaan dalam tempoh berkenaan adalah saat kritikal buat seorang wanita bergelar ibu.
Bukan hanya berdepan dengan CL yang ‘lari’, jelas Suzita fenomena warganet, yang gemar percaya pada sesuatu yang tular juga amat mencabar.
“Kita seboleh-bolehnya mahu memberikan perkhidmatan terbaik sebab itu, setiap tiga hari sekali kita akan menghubungi pelanggan bertanyakan tentang CL yang berkhidmat sama ada mereka menjalankan dengan baik atau tidak,” katanya yang percaya bidang tersebut mempunyai potensi luas pada masa hadapan.











