TIADA salam diberi sebagai isyarat kehadiran. Tiada nama yang dipanggil sebagai tanda ada yang mahu menziarahi. Cuma ketukan di pintu berulang kali dan gegaran jeriji besi yang kuat seumpama ada yang mahu memecah masuk. Bermula di Sabak Bernam bulan lepas, gangguan misteri yang mencetuskan rasa cemas dan ketakutan masyarakat kini jauh merentas negeri hingga ke Johor.
Sehingga kini, tiada jawapan konkrit siapa dalang ketukan misteri itu. Timbul tanda tanya, jika itu perbuatan manusia di mana tandanya? Adakah itu modus operandi baharu perompak?
Enggan berspekulasi, wartawan Mingguan Malaysia, Alif Fadli Mohd. Sori dan Siti Athirah Dzulkifly dan jurufoto, Mohd. Faisol Mustapha bertemu Pengerusi Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam (Darussyifa’), ABDUL RAHMAN AHMAD dan Ketua Lajnah Penerangan dan Komunikasi, ABDUL RAZAK MAHADI di Bangi pada Khamis lalu untuk mendapatkan jawapan dari sudut pandangan perubatan Islam.
MINGGUAN MALAYSIA: Membuka bicara, pihak Darussyifa pasti dengar kes ketukan misteri yang menggemparkan negara? Mungkin ada pendapat umum mengenai gangguan misteri tersebut?
Bila kita bercakap soal gangguan seperti kejadian ketukan pintu tanpa sebarang tanda kehadiran sesiapa, pihak kami cenderung ada dua kemungkinan. Sama ada gangguan secara fizikal dan spiritual (makhluk halus).
Darussyifa ada menerima laporan berhubung gangguan misteri ini?
Memang kami ada menerima laporan di cawangan Sabak Bernam sekitar November lalu berhubung gangguan misteri tersebut. Kami difahamkan tiada entiti yang dikenal pasti. Tiada tapak kaki atau kesan binatang yang mampu membuktikan kehadiran entiti hidup.
Apabila kami meneliti tiada entiti yang dirakam di kamera litar tertutup dan berdasarkan aduan penduduk kawasan terjejas, kami sepakat cenderung ini adalah satu bentuk gangguan makhluk halus. Bukan kerja manusia.
Gangguan makhluk halus dalam bentuk apa? Angin? Lembaga?
Bila bercakap soal jin dan syaitan, biarpun dianggap makhluk halus yakni ghaib di mata namun mereka boleh menjelma dalam pelbagai bentuk. Mereka boleh bertukar menjadi haiwan seperti ular, anjing hitam bahkan manusia sekalipun.
Setakat ini, tiada laporan yang menunjukkan penduduk melihat bentuk makhlus halus itu.
Adakah ini kejadian luar biasa Darussyifa pernah hadapi sepanjang penubuhan?
Kalau hendak cakap tentang ketuk-mengetuk, gegar-menggegar ini sudah banyak kali kami jumpa. Kejadian gangguan jin dan syaitan di kilang, bangunan hatta kediaman juga pernah.
Malah, kes sebegini pernah berlaku sekitar 1970-an apabila sebuah kampung di Perak digemparkan dengan kejadian sama. Namun, itu adalah jelmaan seorang lelaki yang baru meninggal. Seminggu selepas dia dikebumikan, pintu-pintu di kampung tersebut diketuk. Tapi ada tinggal bau busuk.
Berbeza pula dengan kejadian di alaf baru ini. Tiada kesan atau tanda kehadiran entiti. Cuma bunyi ketukan kuat dan gegaran di jeriji besi. Kami sepakat yakin itu adalah gangguan jin dan syaitan.
Pasti ada pihak yang menyangkal pandangan Darussyifa. ‘Mana ada hantu?’ Itu mungkin penafian daripada segelintir masyarakat yang menolak kewujudan makhluk halus.
Makhluk halus itu wujud. Dia boleh kacau bilaukan orang. Hantu itu hanya istilah dalam kalangan manusia. Jin dan syaitan ada hidup dalam dunia ini. Kerja dia menimbulkan masalah. Masyarakat luar juga ada istilah tertentu yang merujuk kepada makhluk halus dan syaitan.
Dalam al-Quran, Allah berfirman dalam surah al-Fathir ayat 6; Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya menjadi penduduk neraka.
Ada mendakwa, gangguan misteri itu kerana seorang lelaki tersalah menuntut ilmu hitam sehingga menjelma menjadi lembaga dan meminta tolong dengan mengganggu masyarakat?
Jangan mudah terpedaya dan percaya dengan dakwaan seperti itu. Memang kita tidak menolak kemungkinan itu. Tetapi kalau ‘dia’ adalah seorang manusia, pasti kita akan dapat kenal pasti.
Kita tahu siapa dia, nama dia dan rumah dia. Habis cerita. Tetapi sehingga sekarang tidak ada pengakuan atau penangkapan. Cerita seperti ini mungkin disebabkan tokok tambah daripada masyarakat. Kalau nak cakap pasal kemungkinan, macam-macam cerita boleh direka.
Kita tak boleh menuduh atau mencipta jawapan. Apa yang kita yakin, ini adalah satu bentuk gangguan makhlus halus atau jin.
Adakah gangguan ini bertujuan memukau penduduk? Kalau benar ini pasti kerja manusia?
Gangguan misteri itu bukan bertujuan memukau penduduk. Jin dan syaitan ini hanya mahu menakut-nakutkan dan mengacau bilau kita. Itu memang kerja mereka. Menakutkan kita, buat rasa seram dan gentar dengan gangguan itu.
Bagaimana cara untuk kita merungkai permasalahan ini?
Kita kembali kepada Allah. Itu solusinya. Kita tidak menolak kemungkinan emosi dalam kita terganggu dek pandemik yang berlaku. Itu boleh memudahkan jin dan syaitan mengganggu ketenteraman kita. Jin dan syaitan ini makhluk yang lemah.
Apa yang penting dalam satu kariah, sama-sama dirikan solat hajat dan bacaan yasin bagi menghindar gangguan seperti itu. Kita ambil contoh sebuah kampung di Sabak Bernam yang pernah diganggu dengan ketukan misteri. Mula-mula perlahan ‘dia’ ketuk. Semakin lama semakin kuat dan akhirnya ‘dia’ gegar pintu rumah macam nak roboh.
Tetapi Alhamdulillah, kini mereka bebas daripada gangguan itu apabila mengamalkan bacaan yasin dan solat hajat bersama. Ini bukan kerja manusia. Jadi kita kena bersama minta bantuan Allah, hindarkan kita daripada gangguan makhluk halus. Amalkan solat berjemaah dan bacaan yasin bersama.
Tapi paling penting, kita jangan buat perkara syirik untuk menyelesaikan masalah. Sesungguhnya, dosa syirik adalah dosa yang tidak diampunkan seperti yang Allah firmankan dalam surah An-Nisa ayat 48.
Dari sudut pandangan Darussyifa, adakah gangguan misteri ini adalah satu bentuk peringatan Tuhan kepada kita semua?
Sesuatu bala yang menimpa umat adalah berpunca daripada dosa dan kesilapan kita. Dosa pula ubatnya taubat. Apabila berlaku maksiat, namun tidak dicegah, bala itu boleh menimpa semua.
Ini adalah teguran daripada Allah SWT kerana kelalaian kita. Maka individu, keluarga dan masyarakat perlu kembali kepada Allah SWT untuk mengangkat perkara musibah yang berlaku.
Misteri ketuk pintu 1970
KEJADIAN dikatakan berlaku sekitar 1970-an apabila sebuah kampung di Behrang, Perak digemparkan dengan kejadian misteri di malam hari. Tiba-tiba sahaja, penduduk kampung cemas apabila beberapa pintu rumah diketuk secara tiba-tiba. Tiada suara memberi salam atau memanggil tuan rumah. Hanya ketukan yang semakin lama semakin kuat.
Malah, saat ketukan mula perlahan berbunyi, ada bau busuk mula menusuk hidung menimbulkan rasa takut dan seram penghuni rumah. Desas-desus mula bertebaran apabila ada yang mendakwa ternampak lembaga berwajah persis seorang lelaki yang juga penduduk kampung itu.
Namun, peliknya lelaki itu sudah meninggal dunia seminggu sebelum kejadian misteri melanda kampung tersebut. Ada yang mendakwa lelaki itu mengamalkan ilmu hitam dan muncul sebagai lembaga mengganggu
ketenteraman penduduk. Namun itu hanya cerita di kedai kopi. Kesahihannya belum pasti. – Mingguan Malaysia







