Jenayah di kaunter JPJ - Utusan Malaysia

Jenayah di kaunter JPJ

Zailani Hashim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kaunter hadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikenal pasti antara yang mudah terdedah kepada aktiviti jenayah terutama membabitkan rasuah, penyelewengan dan sa­lah guna kuasa.

Isu paling kerap berlaku ada­lah perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan yang melakukan ‘pakatan jenayah’ dengan men­­ceroboh sistem JPJ, iaitu MySikap melalui penyalah­gu­naan nombor identiti (ID) me­reka bagi tujuan memanipulasi maklumat demi keuntungan di­ri sendiri.

Mereka ini melakukan ‘pakatan jenayah’ dengan ejen-ejen ter­tentu dengan menggunakan cap rasmi jabatan itu seperti menjual lesen terbang, menukar hak milik kenderaan (kereta klon) dan paling melampau ada juga dikesan menggugurkan pendakwaan kepada pesalah jalan raya.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya yang baru menerajui agensi itu sejak seminggu lalu, Datuk Zailani Hashim memberitahu, kepincangan itu berlaku kerana ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) khususnya di bahagian kaunter perkhidmatan agensi itu mengakibatkan mereka bebas melakukan ‘kerja-kerja’ kotor berkenaan.

“Kita tidak akan sekali-kali berkompromi dengan mana-mana kakitangan dalaman yang melakukan kesalahan rasuah termasuklah pengurusan tertinggi sekali pun sehingga menyebabkan berlaku ketirisan hasil kerajaan.

“Sebagai bukti, JPJ sentia­sa bekerjasama dengan Suruhan­jaya Pencegahan Rasuah Ma­laysia (SPRM) dan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dengan menyalurkan sebarang aduan berunsurkan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di jabatan ini.

“Selain itu, JPJ turut beker­jasama dengan Polis Diraja Ma­laysia (PDRM) dalam operasi bersepadu penguatkuasaan terhadap orang awam yang melanggar Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1967 tidak kira melibatkan pegawai dan anggota jabatan ini yang ingkar terhadap peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Zailani berkata, pada masa sama usaha membersihkan ja­batan itu daripada aktiviti je­nayah itu dilakukan secara ber­terusan dengan kira-kira 203 kertas kertas siasatan telah dibuka terhadap kakitangannya sejak 2019 sehingga November lalu kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan integriti.

Kata Zailani, daripada jumlah tersebut, sebanyak 73 kertas siasatan tatatertib dibuka tahun ini dan 130 lagi pada 2019.

“Tahun ini sahaja kita telah ambil tindakan terhadap 19 anggota didapati terlibat dalam salah laku yang mana dua daripadanya telah dibuang kerja,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Zailani, satu pelan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) JPJ Malaysia 2021 hingga 2025 telah dilancarkan pada 18 September lalu selaras saranan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) agar jabatan kerajaan menghasilkan pelan bersepadu dalam menangani permasalahan dan kelemahan governans integriti dan antirasuah.

Tekad Zailani, beliau akan memastikan jabatan yang diterajuinya akan memaksimumkan penggunaan digital bagi mengurangkan jumlah kakitangan terutamanya di kaun-ter.

“Antara langkah yang diambil adalah penggantian budaya kerja manual kepada digital boleh mengurangkan kesalahan faktor manusia serta risiko penyalahgunaan kuasa.

“Ini secara tidak langsung, penggunaan teknologi bukan sahaja mampu menggandakan kecekapan tetapi meningkatkan hasil kepada negara apabila masalah ketirisan membabitkan kakitangan jabatan ini dise­kat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN