KUALA LUMPUR: DAP memberi jaminan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Presiden PKR itu akan kekal sebagai Ketua Pembangkang.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, walau bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) perlu mara ke hadapan dan arah yang baharu perlulah berfokuskan kaedah untuk menguatkan blok pembangkang.
“Semasa saya berjumpa dengan Anwar pada hari Jumaat yang lepas, saya telah memberikan jaminan kepada beliau yang pimpinan DAP tidak pernah mencadangkan penukaran Ketua Pembangkang.
“Tetapi kumpulan pembangkang perlu mara ke hadapan dan arah baharu yang berfokuskan kepada keperluan untuk menguatkan dan merapatkan semua blok pembangkang, dalam negara kita dengan sebuah konsensus kebangsaan yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Polemik dalaman PH mula timbul susulan kegagalan menyekat lulusnya bacaan kali ketiga Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat minggu lalu.
Dalam satu kenyataan bersama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, perlunya suatu anjakan politik semula bagi tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan di kalangan ahli Parlimen pembangkang.
Mereka berkata, PH seharusnya tidak membuang masa dengan ahli Parlimen kerajaan oportunis yang hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi untuk memperoleh tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan PN.
Katanya lagi, sebaliknya, masa dan sumber harus digunakan untuk rakan dan sekutu yang dapat menemui perjuangan bersama bagi rakyat, berdasarkan prinsip-prinsip nilai demokrasi yang utuh, tadbir urus yang baik, anti-rasuah, kemajuan ekonomi dan keadilan sosial. – UTUSAN










