JOHOR BAHRU: Selepas Perak, apakah kedudukan terumbang-ambing menteri besarnya akan berjangkit pula ke Johor?
Ini kerana komposisi parti-parti di Dewan Undangan Negeri Johor juga sangat rapuh dengan menyaksikan 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berada di bawah Perikatan Nasional (PN) manakala Pakatan Harapan (PH) seramai 27 orang.
Jika 12 ADUN Bersatu ingin ‘membalas dendam’ terhadap kemelut yang berlaku di Perak, berbanding ADUN UMNO seramai 14 orang, mereka tidak akan memberi undian untuk meluluskan Belanjawan Johor 2021 yang berlangsung pukul 9.30 pagi ini.
Ini sekali gus dari segi moralnya, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad gagal mendapat sokongan.
Difahamkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri akan menghadiri sidang DUN bagi undian Belanjawan Johor 2021 selaku ADUN Bukit Gambir.
Semalam, Muhyiddin juga dipercayai memanggil kesemua ADUN Bersatu untuk berbincang di sebuah lokasi di Muar.
Dijangkakan hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor banyak berlaku kemungkinan susulan situasi politik Perak yang kian hangat susulan kegagalan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memperoleh sokongan majoriti ADUN Perak.
Antara jangkaan tersebut jika terdapat ADUN Johor termasuk 12 wakil Bersatu sendiri menolak usul Belanjawan Johor 2021 dibentangkan Hasni pada 26 November lalu, sekali gus memberi petanda beliau gagal mendapat kepercayaan dewan.
Jika benar berlaku, Hasni berkemungkinan bakal senasib dengan Ahmad Faizal namun jika sebaliknya, beliau akan kekal mengetuai kepemimpinan negeri di samping agenda belanjawan untuk membantu rakyat terkesan Covid-19 dapat diteruskan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Ketua Bersatu Johor, Senator Md. Nasir Hashim menolak khabar angin menyatakan parti itu ada membincangkan usaha meninggalkan gabungan Perikatan Nasional (PN) Johor yang selama ini membentuk kerajaan negeri.
Katanya, dakwaan mesej tular mengatakan pihaknya mengadakan satu mesyuarat semalam untuk membincangkan hala tuju kerjasama dengan UMNO di Johor adalah palsu dan tidak benar.
“Tidak benar mesej itu, malah kita tidak pernah membincangkan sebarang usaha untuk menarik sokongan kepada Hasni termasuk mengusulkan sebarang usul tidak percaya.
“Maka ingin ditegaskan Kerajaan Negeri Johor masih stabil kerana kita masih menyokong kerajaan sedia ada,” katanya.
Malah, kehadiran Muhyiddin ke sidang DUN untuk menyertai sesi pengundian belanjawan sekali gus akan menepis dakwaan melibatkan kedudukan kepemimpinan Hasni.
Semalam, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian membayangkan Hasni berkemungkinan bakal senasib dengan Ahmad Faizal dan susulan kenyataan itu, beliau diberikan amaran pihak tertentu agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada pihak media.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husain berkata, hubungan antara Pas, UMNO dan Bersatu di dalam PN ketika ini berada dalam keadaan baik.
“Saya amat berharap hubungan baik berkenaan dikekalkan dan tidak berlaku seperti yang terjadi di Perak dan berlaku di Johor, insya-Allah,” katanya.
DUN Johor kini memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), Pas (satu), Amanah (9) dan PKR (empat). – UTUSAN ONLINE










