Tuhan tak beri kita bagus untuk buat semua benda- Fauzi Marzuki - Utusan Malaysia

Tuhan tak beri kita bagus untuk buat semua benda- Fauzi Marzuki

FAUZI MARZUKI -MINGGUAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berbicara dengan sosok yang sarat dengan khazanah seni memang mengasyikkan, tambah pula bila tuan badan tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman. Walaupun kelibat sekadar di belakang tabir, namun tanpa sentuhan dan idea yang dicurahkan tidak mungkin si penghibur mampu mencipta nama apatah lagi untuk bertapak kukuh dalam industri.

Fauzi Marzuki, 65, bukanlah nama asing bagi penggiat seni tanah air. Sentuhan dan auranya cukup memberi kesan. Tidak hairanlah penyanyi-penyanyi terkenal tanah air seperti Biduanita Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Datuk Nash, Rahim Maarof, Shima serta beberapa nama popular lain berjaya memahat nama sebagai penghibur kelas atasan, gara-gara lagu-lagu ciptaan beliau.

Bersama Mingguan Malaysia, figura terkenal anak kelahiran Kampung Tawas, Ipoh, Perak ini berkongsi cerita tentang pengalamannya mencipta lagu. Beliau juga berkongsi tips kejayaan yang perlu di titikberatkan oleh artis-artis baharu yang ingin membina tapak dan memulakan kerjaya sebagai penghibur.

“Idea menghasilkan lagu ini tidaklah serumit mana, kebanyakan lagu yang saya buat tidak mengambil masa lama, hanya sekitar 15 hingga ke 20 minit. Biasanya saya buat lagu di rumah dengan menggunakan medium seperti gitar, telefon bimbit dan sebagainya.

“Saya ada cara tersendiri. Biasanya kalau selepas lima minit lagu yang saya cipta itu stuck atau jammed, saya tidak teruskan. Saya buang dan buat baharu. Sebab bagi saya kalau nak jadi pasti dari mula dia akan jadi. Kalau tidak, lebih baik buang dan tak perlu habiskan masa.

“Melayan kerenah artis juga satu cabaran. Ada artis yang lemah dari segi disiplin, cerewet dan sebagainya. Bagi saya mudah sahaja. Jika seseorang penyanyi inginkan lagu saya, mereka kena ikut cara saya. Yang penting si penyanyi mampu membawa lagu tersebut sampai ke jiwa. Bukan sekadar menyanyi untuk suka-suka,” katanya memulakan perbualan.

Menurut Pensyarah sambilan ASWARA dalam bidang Audio Mixing dan Mastering ini, setiap lagu yang dihasilkan mestilah kena dan cocok dengan penyanyi itu sendiri.

Sejujurnya beliau akan cuba menghasilkan karya yang terbaik dan bermutu. Namun selebihnya penyanyi itu sendiri yang perlu bekerja keras untuk ‘menaikkan’ lagu tersebut supaya menjadi hits dan diterima peminat.

“Kadang-kadang ada artis jumpa saya minta buatkan lagu hits untuk mereka. Saya beritahu mereka, saya tidak boleh buat lagu yang hits. Cuma saya boleh buatkan lagu yang bagus. Lagu akan jadi hits kalau penyanyi itu sendiri pandai merencana serta mempromosikannya. Adakalanya lagu bagus tapi penyanyi sendiri tak mampu jadikan lagu tersebut hits, jadi kena carilah di mana silapnya.

“Pencipta lagu dan penulis lirik juga ibarat aur dan tebing. Perlu ada keserasian. Contohnya, bila saya buat lagu berkonsep rock, saya akan berikan kepada rakan-rakan penulis lirik yang ada jiwa rock. Takkan lirik rock saya nak bagi pada Habsah Hassan pula, jadi tak kenalah. Kena faham, bahasa rock, pop, balada ini semua berbeza.

“Kebiasaannya apabila buat lagu, saya sudah tahu siapa penulis lirik yang sesuai. Saya tidak akan beri lagu saya kepada penulis lirik baru yang tiada pengalaman. Kalau ada minta pun saya akan tengok track record dia dahulu. Jika tidak menepati standard diinginkan, maka saya akan reject. I got no time to try,” ujarnya tanpa berselindung.

Hari ini kemunculan individu yang rata-rata mampu melahirkan karya sendiri dari segi lagu, lirik dan susunan muzik adalah sesuatu yang membanggakan.

Beliau sendiri tidak meremehkan perkara tersebut, namun menurutnya kelemahan tetap ada. Dia memberi contoh berapa banyak lagu hari ini yang mampu menjadi hits, evergreen serta berjaya menakluk hati peminat.

“Kena berpijak di bumi nyata. Satu orang buat semua. You are master of none! Tuhan tak beri kita bagus untuk buat semua benda. Kalau nak buat semua benda, kau takkan cukup jiwa untuk hasilkan yang terbaik. Cuba lihat lagu-lagu yang berjaya dan diminati peminat, dalam itu terkumpulnya gabungan jiwa pencipta, jiwa penulis lirik, jiwa penyanyi. Itulah kekuatannya.

“Jangan jadi syok sendiri, nanti karya itu tidak akan berkembang. More heads are better than one! Mungkin hari ini lagu kau diterima peminat, tapi sampai bila? Boleh jadi evergreen?”

“Ini kerja kreatif. Ibarat sebuah lukisan di kanvas yang berharga RM5. Semua orang boleh beli dan lukis, namun harga serta nilainya akan ditentukan melalui si pencoraknya. Jadi kena faham itu,” katanya.

FAUZI Marzuki ditemu bual oleh wartawan Mingguan Malaysia Roshihan Anuar Yob.

Jadi artis bukan mudah

Kemunculan artis yang diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan hari ini sedikit sebanyak mencalarkan imej industri seni.

Menurut beliau, untuk melabelkan seseorang itu sebagai artis bukanlah mudah. Artis perlu hadir dengan pakej lengkap. Jika karya itu sekadar dimuat naik dalam media sosial tanpa garapan dan penjagaan kualiti mereka seharusnya belum layak untuk digelar sebagai artis.

“Sekarang ini terlalu mudah untuk bergelar artis. Ada rupa dan duit sikit lepas itu buat single. Bila recording pakai auto tune, tanpa jaga kualiti, lepas itu bila nyanyi live huru-hara, takkan orang macam ini kita nak gelar dia artis?

“Dahulu kalau nak jadi artis cukup rumit. Tiada konsep dari machine. Dia nyanyi depan kita tanpa muziik pun dah sedap. Suara yang keluar itu adalah original daripada diri dia. Kalau guna machine waktu rakaman pun hanya beberapa peratus sahaja, itu pun bukan untuk ‘siapkan dan mudahkan kerja’, tapi sekadar penambahbaikan.

“Jadi kalau berhasrat untuk jadi penyanyi kenalah jujur, berbakat dan mampu jadi penghibur yang baik. Kalau sekadar suka-suka sahaja tak payahlah. Buat kacau industri,” katanya mengakhiri perbualan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN