Tiga beranak edar dadah RM8.1 juta - Utusan Malaysia

Tiga beranak edar dadah RM8.1 juta

SAHABUDIN Abd. Manan (dua dari kanan) bersama pegawai-pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam sidang media di Georgetown, semalam. – UTUSAN/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tiga beranak antara enam suspek yang dipercayai terlibat dalam pengedaran pelbagai jenis dadah dalam bungkusan minuman teh Cina bernilai RM8.1 juta diberkas di empat lokasi berasingan di ne­geri ini kelmarin.

Dalang utama iaitu lelaki berusia 35 tahun, isterinya warga Thailand berumur 28 tahun dan ibu lelaki terbabit berusia 59 tahun ditahan bersama tiga lagi lelaki dalam operasi khas di Sungai Nibong, Bayan Lepas dan Balik Pulau di sini.

Serbuan tersebut dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) mulai pukul 4.30 pagi hingga 9.30 pagi.

Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, penahanan suspek susulan tangkapan dua lelaki iaitu ketua sindiket bersama seorang rakannya dalam sebuah kereta di Su­ngai Nibong.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam kereta yang dinaiki suspek terbabit menemukan sejumlah kecil dadah jenis syabu dengan anggaran berat dua kilogram (kg).

“Susulan tangkapan suspek terbabit membawa kepada penahanan dua lagi lelaki yang bekerja sebagai nelayan dan peniaga buah di Sungai Nibong dan Bayan Lepas. Penahanan ibu dan isteri dalang utama itu pula dilakukan di kediaman mereka di Balik Pulau.

“Hasil serbuan polis di lokasi-lokasi berkenaan telah berjaya merampas bungkusan syabu seberat 133.3kg, ketamin (20.7kg) dan heroin base (11.1kg) yang disembunyikan di dalam setor kediaman suspek-suspek terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di IPK di sini, semalam.

Anggaran kesemua rampasan dadah itu adalah RM8.1 juta manakala nilai sitaan bagi dua buah kereta jenis Ford Everest dan Proton Perdana serta wang tunai RM38,300.

Sahabudin memberitahu, pihaknya percaya bekalan dadah yang diisi dalam bungkusan minuman teh Cina itu dibawa masuk dari Thailand dan kemudiannya diambil oleh suspek menggunakan laluan darat dari Sintok, Kedah.

“Kita masih menjalankan siasatan sama ada suspek bertindak memasukkan bungkusan dadah bersama buah-buahan bagi mengaburi mata pihak berkuasa berikutan penemuan bekalan dadah itu dalam kotak buah.

“Dadah itu juga dipercayai untuk pasaran di negeri utara dan selatan serta sindiket juga sudah mempunyai pelangan-pelanggan tetap,” ujarnya yang menambah dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada lebih sejuta penagih.

Jelasnya, keputusan ujian saringan air kencing mendapati tiga dari empat suspek lelaki terbabit positif methamphetamine kecuali dalang utama bersama isteri dan ibunya.

Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN