KUALA LUMPUR: Angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila isterinya selamat melahirkan sepasang bayi kembar lelaki dan perempuan di Sunway Medical Centre awal pagi semalam.
Beliau memberitahu, Datin Dr. Halina Mohd. Yunos melahirkan anak lelakinya seberat 2.26 kilogram pada pukul 9.47 pagi disusuli anak perempuan seberat 2.17 kilogram pada pukul 9.48 pagi menggunakan kaedah caesarean.
Bagaimanapun, Sheikh Muszaphar mengakui bimbang apabila isterinya perlu bersalin lebih awal daripada yang dijangkakan kerana berdepan dengan pre-eclampsia, sejenis masalah kesihatan yang boleh menyebabkan komplikasi kepada ibu mengandung seperti tekanan darah tinggi dan kerosakan organ dalaman.
“Isteri saya sepatutnya bersalin 22 Disember ini tetapi disebabkan pre-eclampsia, keadaan jadi bahaya dan sebab itu anak kembar saya keluar cepat.
“Mula-mula takut juga sebab kembar itu lahir secara pra-matang, tetapi apabila lihat keadaan mereka, pergerakan baik dan dalam keadaan yang sihat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sheikh Muszaphar dan Halina mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010.
Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha dan anak kembar lelaki, Sheikh Adam dan Sheikh Noah.
Walaupun Syeikh Muszaphar belum bersedia untuk mendedahkan nama kembar baharunya, beliau sudah tidak sabar untuk membesarkan anak-anaknya dan menambah lagi anak pada masa akan datang.
“Anak-anak saya semakin ramai dan banyak cabarannya tetapi saya tidak sabar untuk mendidik dan menjaga mereka.
“Kalau anak seorang sahaja mungkin mudah untuk dijaga, tetapi apabila enam orang anak, perhatian perlu diberikan secara sama rata. Memandangkan saya dan isteri ada pengalaman dengan anak kembar, kami bersedia untuk beri lebih masa untuk anak-anak. Insya-Allah, semuanya akan berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN ONLINE










