KUALA LUMPUR: Isu cadangan pembinaan tembok sempadan bukan perkara baharu.
Lebih 10 tahun lalu, perkara sama pernah dicadangkan, dibincangkan, tetapi ‘terbiar’ sekadar itu sahaja.
Terbaharu dalam bulan ini, lima kes melibatkan serangan di sempadan dilaporkan, paling menyayat hati melibatkan kematian anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), mendiang Sarjan Baharuddin Ramli.
Mendiang terbunuh dalam pertempuran dengan penyeludup di laluan sempadan yang hanya dipisahkan dua lapis pagar, dan pagar separuh batu.
Tidak mahu perkara sama berulang, muncul sekali lagi cadangan dan pandangan supaya kerajaan mempercepatkan pembinaan tembok sempadan.
Persoalannya, sampai bila cadangan lama ini akan berterusan kekal sebagai cadangan? Apa kekangan utama untuk tembok sempadan ini dibina? Apakah mendapat bantahan negara jiran?
Masalah kewangan?
Kalau ditanya pelbagai pihak, memang diakui pembinaan tembok sempadan yang kukuh ditambah dengan kawalan ketat pihak berkuasa keselamatan, itulah benteng utama menyekat sempadan negara mudah dibolosi.
Hendak tunggu apa lagi? Hendak tunggu macam mana lagi? Semuanya sudah berlaku, penyeludupan, pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) malah tindakan sindiket penyeludup melakukan serangan senjata api, sudah melampaui batas.
Kelmarin, seorang lagi anggota PGA cedera selepas terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Esok lusa, kalau berlaku lagi kejadian sama, apakah tembok sempadan hanya tinggal cadangan? Kerajaan perlu memandangnya secara serius. Ini melibatkan nyawa dan keselamatan kepada negara.
Perkara itu diakui Geostrategis, Azmi Hassan yang melihat pagar keselamatan ketika ini tidak lagi praktikal dan tidak dapat bertahan 100 peratus.
Beliau menekankan, insiden terbaharu serangan di sempadan memberi tekanan supaya Belanjawan 2021 turut sama ‘memikirkan’ dan menyediakan peruntukan untuk membina tembok berkenaan.
Pesan beliau, serangan di sempadan seharusnya diambil pengajaran supaya kita tidak lagi hanya berbicara soal cadangan malah perlu kepada tindakan lebih serius.
“Secara dasarnya, kita amat memerlukan (tembok sempadan) kerana banyak laluan tikus dan membahayakan anggota keselamatan. Binalah tembok yang tak boleh dicerobohi, mungkin melepasi 10 meter,” katanya.
Sempadan darat Malaysia-Thailand melibatkan laluan sepanjang 595 kilometer.
Boleh dikatakan laluan yang panjang, cadangan Azmi, mungkin boleh dimulakan di kawasan kritikal atau kawasan yang sering kali ‘dilabel’ laluan tikus.
Laluan tikus ini sudah banyak kali diperkatakan dan dilaporkan media. – UTUSAN ONLINE










