Sabah terancam - Utusan Malaysia

Sabah terancam

SEORANG warga emas bersama empat kanak-kanak dipercayai cucunya di hadapan rumah mereka di Batu 30, Sandakan, Sabah. Batu 30 menjadi tumpuan pendatang asing dari Filipina. - MINGGUAN/FAUZAN AZIMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Status individu tanpa kad pengenalan atau warga tanpa kerakyatan (stateless) di Sabah semakin serius dan mereka ini tidak mungkin dapat dibawa pulang ke negara asal Filipina.

Perkara itu dilihat membimbangkan kerana kebanyakan pemegang pas IMM13 yang terdiri daripada pelarian Filipina telah berkeluarga seterusnya melahirkan anak yang statusnya tanpa ‘kerakyatan’ di samping sudah bermastautin di Sabah.

Tidak mustahil warga asing di negeri itu kini mencecah ratusan ribu.

Hal itu sekali gus meningkatkan pelbagai masalah seperti persaingan antara warga tempatan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu dalam sektor pekerjaan, terutama ketika seluruh negara kini dilanda pandemik Covid-19.

Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, sumber berkata, ada pemegang pas IMM13 sudah berulang-alik dari Sabah ke Filipina dan dalam keadaan itu tidak mustahil pas tersebut sudah atau  ‘dieksploitasi’ khususnya dalam kalangan PATI termasuk pengganas di selatan Filipina.

Kata sumber, satu pas IMM13 yang dikeluarkan kepada pelarian boleh diletakkan sehingga 10 nama ahli keluarga di bawahnya dan berdasarkan data sebelum ini, hampir puluhan ribu pas tersebut telah diberikan sejak mereka mendapatkan ‘perlindungan’ di negeri itu pada 1970-an.

“Ada antara mereka yang tidak boleh bercakap bahasa Filipina dan tidak mengetahui langsung asal-usul kampung di sana jadi bagaimana pihak Filipina mahu menerima mereka. Isu ini sangat serius kerana lambakan warga tanpa kerakyatan telah membanjiri hampir di seluruh negeri Sabah. 

“Lebih mengejutkan, ada yang turut terlepas menjadi penjawat awam. Bagaimana hal itu boleh berlaku sedangkan ‘status’ mereka tidak layak bekerja dengan kerajaan,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, sumber berkata, ‘kelemahan’ pada pas IMM13 antara punca ada warga asing  ‘mengekploitasi’ pas berkenaan kerana tidak mempunyai tempoh tamat selain boleh bekerja serta tinggal di sini tanpa sebarang permit.

Jelas sumber, ini kerana pas IMM13 tidak memerlukan gambar pemegang seperti pasport atau kad pengenalan (MyKad) malah ketika proses memperbaharui, mereka hanya perlu menunjukkan sekeping kertas pas tersebut dan membayar RM90.

Malah, kata sumber, terdapat kemungkinan ada antara mereka yang menukar pas tersebut serta memberikan kepada PATI lain.

“Ini baru isu IMM13, belum lagi melibatkan pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang diberikan kepada warga asing dari Filipina yang masuk ke Sabah secara haram.

“Perkara ini perlu diatasi dengan segera kerana lambakan warga asing yang beranak-pinak di Sabah lebih membimbangkan serta jumlahnya terlalu ramai,” katanya.

Tambah sumber, jika dahulu warga asing Filipina di Sabah didapati bekerja sebagai buruh kasar kini mereka juga dikesan ‘memonopoli’ sektor perniagaan di negeri terbabit dengan membuka kedai runcit kerana mereka terdesak untuk menampung kehidupan.

“Pergi sahaja di pasar Filipina di Kota Kinabalu, boleh dikira dengan jari berapa ramai rakyat tempatan yang berniaga di sana. Ini belum penempatan mereka di sana. Selagi ada kampung air di sekitar Sabah, di situ mereka ada.

“Lambakan PATI di Sabah seolah-olah tiada kesudahan. Satu mekanisme perlu diwujudkan bagi menangani warga asing Filipina serta Indonesia yang ‘membanjiri’ hampir seluruh negeri di bawah bayu itu,” katanya.

Laporan Utusan Malaysia kelmarin mendedahkan masalah penggunaan dokumen palsu dalam kalangan PATI di Sabah semakin rumit apabila kehadiran mereka sudah menjangkau sehingga empat generasi.

Walaupun sudah beranak-pinak di negeri itu, pendatang terlibat yang berasal dari Filipina dan Indonesia itu terus menggunakan MyKad dan pas IMM13 palsu bagi membolehkan mereka bergerak bebas.

Dedah Utusan Malaysia lagi, atas permintaan tinggi, ejen-ejen pemalsuan yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang tinggal di Sabah mengambil kesempatan dengan mengekploitasi pengeluaran MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN