Pesan Tok Guru Pak Teh Mad: Jangan anggap Covid-19 sebagai bala - Utusan Malaysia

Pesan Tok Guru Pak Teh Mad: Jangan anggap Covid-19 sebagai bala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BUKAN bala. Jangan anggap Covid-19 ini sebagai bala daripada Allah SWT. Anggap ini sebagai ujian yang Allah beri dan pohon doa untuk pulihkan.”

Itu dititipkan tokoh ulama Kedah, Datuk Ahmad Mohd. Nor atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Teh Mad, 95.

Tegas pengasas Maktab Mahmud Padang Terap, Kedah itu, sebagai umat Islam, kita harus mempercayai setiap dugaan atau ujian yang mendatangi kehidupan termasuk wabak Covid-19 itu adalah dengan keizinan Allah.

Senjata ampuh mendepani ujian getir ini, kata beliau, adalah solat dan doa.

“Solat jangan tinggal, kalau tak boleh solat di masjid, solat di rumah dan berdoalah setiap masa untuk menolak wabak ini. Sesungguhnya ia ujian daripada Allah untuk melihat sejauh mana kita bersabar dan bertahan.

“Dari dulu lagi beratus tahun lampau sudah ada wabak seperti ini,” katanya ketika ditemui di Pondok Ahmadiah Ahmad, Kuala Nerang, baru-baru ini.

Beliau yang pernah menerajui Maktab Mahmud itu selama 30 tahun turut memberikan nasihat tentang ikhtiar lain untuk mencegah penularan Covid-19 ini termasuk mengikuti apa diperintahkan kerajaan seperti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tertentu.

“Semua harus ikut kerana kebersihan itu juga dituntut dalam Islam. Kita solat, kita ambil wuduk itu cara bersihkan diri.

“Jaga kebersihan diri, rumah dan persekitaran kita. Apa yang memudaratkan kita dan orang sekeliling harus dielakkan seperti pakai pelitup muka. Saya juga memakai pelitup muka bila keluar dan bertemu orang kerana dengan cara itu ia menenangkan orang lain,” katanya yang mempunyai 10 anak, 50 cucu dan lima cicit ini.

Tidak ketinggalan juga, ulama ini memberitahu, pemakanan dan penjagaan kesihatan turut memainkan peranan untuk memerangi wabak penyakit.

Begitu juga dengan pandemik yang belum menampakkan noktah dan vaksinnya belum ditemukan, beliau terus berpesan bahawa penyakit yang diturunkan pasti ada penawar selagi kita tidak berhenti berusaha dan berdoa.

“Jangan takut dengan ujian seperti ini kerana apa yang berlaku ini ada hikmah,” jelasnya sentiasa mengambil berat tentang perkembangan Maktab Mahmud yang terletak bersebelahan sekolah pondoknya itu.

Pak Teh Mad turut mengakui amalan doa dan penjagaan diri yang diterapkan dalam kalangan warga pondoknya dan Maktab Mahmud tersebut menjadi faktor kawasan yang mempunyai lebih 800 penghuni itu bebas daripada Covid-19.

Demikian keperibadian ulama tersohor ini yang sentiasa mengambil berat tentang perkembangan institusi pondok yang diasaskan beliau.

Baktinya membawa sistem pondok ke dalam arus pendidikan perdana itu membolehkan beliau dianugerahkan pingat Darjah Datuk Setia Diraja Kedah (DSDK) oleh Sultan Kedah pada 1987.

DATUK AHMAD MOHD. NOR

  • Tarikh Lahir: 16 November 1925
  • Tempat Lahir: Kampung Tanjung Mukim Padang Terap
  • Adik-beradik: Anak keempat daripada 12 adik-beradik
  • Pengasas: Maktab Mahmud Padang Terap

Pendidikan:

  • Sekolah Melayu Padang Terap
  • Madrasah Sa’adatun Daroian, Merbok
  • Pondok Pulau Rotan, Nako Nambua
  • Madrasah Al-Islamiah, Gajah Mati
  • Madrasah Soulatiyyah, Mekah
  • Alamat: Pondok Ahmadiah, KM42, Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang, Kedah
  • Nama Isteri: Datin Wan Salehah Wan Ibrahim, 83 tahun.

– MINGGUAN MALAYSIA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN