Cuaca malam itu cukup baik, kebetulan pula bulan mengambang penuh, sekali gus memudahkan rancangan aku, Pian dan Enal untuk keluar memancing di lombong tinggal berhampiran rumah kami di pekan Kampar.
Sebelum ini kerap juga kami memancing bersama, tetapi baru hari ini kami bercadang untuk memancing di waktu malam. Kata Pian, kalau memancing waktu malam feel dia lain macam sikit, lagi pun spesis ikan lombong seperti tongsan, rohu dan patin memang suka keluar cari makan di waktu malam.
Aku sebenarnya bukanlah seorang kaki pancing. Tapi bila dah bercampur dengan kawan-kawan yang gila memancing memang terjebak samalah. Kebetulan pula malam itu aku memang tiada sebarang rancangan, jadi daripada tak buat apa di rumah baik aku join mereka, sekurang-kurangnya hilang juga rasa bosan.
Setelah mengisi umpan kami masing-masing melepaskan tali joran ke tengah lombong. Aku pandang sekeliling. Tiada apa yang kelihatan kecuali rimbunan pohon-pohon serta semak samun.
Yang datang memancing pun hanya kami bertiga sahaja. Sesekali aku mengibas-ngibas tuala kecil yang dibawa untuk menghalau nyamuk yang hinggap di tubuh.
“Fuhh, cantik betul cuaca malam ini. Biasanya kalau bulan penuh macam ini memang banyak ikan naik cari makan,” kata Enal memulakan perbualan.
Aku dan Pian hanya tersengih mendengar kata-kata Enal. Kami akui antara kami bertiga memang Enal taikonya. Dia memang gila memancing sehinggakan sanggup pergi ke Terengganu, Pahang atau di mana sahaja semata-mata untuk memancing.
Aku pandang ke arah lombong. Airnya cukup tenang dan sesekali ada kocakan kecil di permukaan. Kami menanti dengan penuh sabar dengan harapan sebentar lagi ada ikan yang menyambar umpan di pancing kami.
Aku lihat jam di tangan. Sudah hampir jam 11 malam. Nasib baiklah esok hari Minggu, jika tidak jenuh juga kalau nak bangun pergi kerja.
Tiba-tiba kedengaran kocakan kuat di tengah lombong. Kami tersentak. Rupa-rupanya pancing Enal sudah mengena.
Dengan penuh berhati-hati dia menarik joran perlahan-lahan. Hampir lima minit juga Enal ‘bermain’ dengan pancingnya sebelum berjaya menarik ikan itu naik ke tebing. “Fuhhh… besar rohu ni…
Kurang-kurang mahu enam, tujuh kilo ini” teriak Pian dengan gembira.
Kami membantu Enal mencabut mata kail dan memasukkan ikan tersebut ke dalam bekas yang dibawa. Kami ketawa gembira kerana nampaknya berhasil juga aktiviti pada malam itu.
Kami bersembang menghilangkan rasa bosan. Pelbagai topik dibualkan sehingga adakalanya kami ketawa terbahak-bahak jika ada melucukan.
Sedang asyik bersembang, tiba-tiba sekali lagi kami dikejutkan dengan bunyi kocakan kuat di tengah lombong. Kami berpandangan. Masing-masing melihat joran sendiri. Aneh! Batang pancing kami masing-masing terpacak lurus tanpa sebarang tanda ada ikan yang meragut umpan.
Kocakan dan pusaran air di tengah lombong masih tidak berhenti sehinggakan kami dapat merasa tempias airnya. Kami bertiga melihat dengan mulut terlopong. Tak tahulah ikan apa yang naik ke permukaan air agaknya sehinggakan suasana tenang bertukar menjadi hingar- bingar.
Tiba-tiba kami tergamam. Mulut masing-masing terlopong kaget. Dengan jelas kami dapat melihat pusaran air seperti ombak kecil menderu naik melimpahi tebing. Mata kami tidak berkelip.
Masing-masing khusyuk melihat kejadian yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.
Dalam samar cahaya bulan tiba-tiba kami melihat satu makhluk bertubuh besar berwarna hitam muncul dari kocakan air di tengah tasik. Tingginya hampir separuh pohon kelapa.
Kami bertiga tergamam. Walaupun jarak kami dengan makhluk itu agak jauh, namun kami masih dapat melihat dengan jelas rupa makhluk tersebut.
Rambutnya panjang mengurai sehingga mencecah permukaan air. Muka dan tubuhnya hitam pekat seperti watak orang minyak yang pernah kami saksikan di televisyen sebelum ini. Sesekali makhluk tersebut memalingkan mukanya ke kiri dan ke kanan seolah mencari sesuatu. Kami bertiga menggigil ketakutan dan bersembunyi di sebalik belukar yang ada di situ.
Dengan jelas kami dapat melihat mata makhluk tersebut merah menyala seperti bola api. Ada ketikanya terdengar dia merengus sambil menepuk permukaan air sehingga menyebabkan beratus-ratus ekor ikan keluar dan melompat-lompat di sekelilingnya seolah sedang meraikan sesuatu.
Tidak lama kemudian makhluk tersebut perlahan-lahan masuk semula ke dalam air. Permukaan lombong yang tadinya hingar-bingar bertukar tenang seperti sedia kala. Yang kelihatan dari jauh hanyalah buih-buih dan puing-puing kesan dari kejadian sebentar tadi. Aku, Pian dan Enal masih menggigil ketakutan. Mulut kami masing-masing terkunci tidak mampu mengucapkan apa-apa.
Pandangan kami hanya tertumpu ke arah air yang kembali tenang di tengah lombong.
Hampir beberapa ketika barulah kami keluar dari persembunyian. Tanpa banyak bicara kami bergegas mengemas segala kelengkapan untuk beredar. Kejadian itu memang tidak disangka, malah cukup menakutkan.
Dalam perjalanan pulang ke rumah kami hanya mendiamkan diri. Enal yang tenang memandu kereta juga tidak bercakap walau sepatah. Mungkin masih terkejut dengan kejadian tadi.
“Eh, korang rasa hantu apa yang kita tengok tadi eh?” Tanya Pian memulakan perbualan. Aku dan Enal tidak segera menjawab. Dalam hati kami juga masih tertanya-tanya makhluk apa yang kami saksikan sebentar tadi.
“Entahlah…aku rasa hantu air kot, tak pun penunggu lombong tinggal agaknya,” jawab Enal perlahan sambil jari-jemarinya erat memaut stereng kereta.
Aku mengangguk setuju. Mungkin ada benarnya kata-kata Enal itu. Tidak mustahil apa yang kami lihat itu adalah hantu air atau penunggu lombong tinggal tersebut, namun pengalaman malam itu cukup menakutkan dan memberi kesan kepada aku sehinggakan jantungku masih berdebar kencang walaupun sudah sampai ke rumah.
Keesokannya aku bersendirian menaiki motosikal pergi ke lombong tersebut. Aku sekadar ingin melihat keadaannya di waktu siang. Sebaik sampai aku lihat ada beberapa orang pemancing sudah berada di situ dengan joran masing-masing. Aku sekadar memerhatikan dari jauh.
Aku berharap agar mereka tidak berlarutan memancing hingga ke malam. Aku tidak mahu mereka mengalami pengalaman seperti apa yang aku lalui bersama rakan-rakanku malam tadi. – Seram, Mingguan Malaysia










