Tidak pernah menjangkakan bahawa suatu hari hidupnya mampu berubah, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Merican sejak kecil punya satu impian, jika boleh, dia tidak mahu orang lain turut berasa kesusahan seperti yang dilaluinya.
Menerima anugerah Utama Semarak Cinta Rasul sempena sambutan Maulidur Rasul di peringkat kebangsaan 1442H/2020M baru-baru ini ternyata bukan satu tiket untuk Mustapha meletakkan noktah dalam misi hidupnya.
Bermula sebagai anak kecil yang datang daripada sebuah keluarga nelayan miskin dan mentah mengenal erti dunia yatim piatu. Namun begitu akrab mendakap cinta dan kasih sayang daripada nenek dan datuk ketika mereka masih ada.
Tidak pernah mengeluh, Mustapha nekad menjadikan kesusahan yang menguji sebagai pemangkin untuknya menjadi insan yang berguna sambil berpegang pada sabda Rasulullah SAW, “sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat pada manusia lain”.
Dunia armada laut memberikan sejuta pengalaman mahal buat Mustapha kerana baginya, di situlah bekas tentera ini memulakan langkah membina impian di samping merencana perjalanan hidup dengan meraih ilmu akademik.
“Saya sertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika berusia 18 tahun. Waktu itu, rakan-rakan sebaya lain di kampung ramai yang tak dapat teruskan pengajian dan pelbagai dilema anak kampung.
“Asalnya saya nak jadi seorang pelayar, tetapi lebih baik sertai TLDM kerana saya berpeluang untuk sambung pengajian di universiti. Kalau tanpa platform itu, agak sukar juga kerana kemiskinan hidup waktu itu,” katanya.
Bercerita lanjut, kata Mustapha, sewaktu bertugas di laut, cukup dikenali kerana sering digelar si ulat buku. Sering sahaja buku berada di tangannya. Bahkan, dia juga suka menulis puisi atau sajak kerana laut baginya, sentiasa mencetuskan inspirasi buat seorang ‘pelayar’ sepertinya.
“Saya aktif menulis dan menyertai pelbagai aktiviti berkaitan seperti menulis puisi, pentomin sehingga pada tahun 1982 saya berjaya ke Universiti Sains Malaysia dalam bidang penulisan kreatif.
“Menyambung pengajian dalam bidang undang-undang perniagaan di Universiti Malaya, saya kemudiannya berpeluang bekerja di Wisma Putra di mana ia juga membuka seribu satu pengalaman buat saya,” katanya.

Misi kemanusiaan
Sama ada di TLDM mahupun di Wisma Putra, Mustapha menganggap kedua-duanya banyak mengajar erti kehidupan terutama apabila didedahkan dengan penderitaan, kesusahan masyarakat di luar negara.
“Banyak berjalan di negara orang dan sebagai pegawai tentera, tentulah saya banyak melihat pelbagai konflik antarabangsa. Yang boleh saya katakan menerusi mata pandangan sendiri, peperangan bukan jalan penyelesaian.
“Untuk menyelesaikan sesuatu krisis, yang terbaik adalah menerusi pakatan keamanan dan perundingan.
“Semua pengalaman itu menggerakkan rasa di hati untuk saya mewujudkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa dan bersyukur sejak ditubuhkan pada 1999, sehingga kini telah banyak misi kemanusiaan yang dilakukan,” katanya.
Menurut Mustapha, NGO Antarabangsa pada awalnya berpangkalan di Kemboja dan selama 22 tahun dia bergerak secara solo keluar negara atas usaha menjalin kerjasama dan hubungan baik dengan pelbagai NGO di luar negara, khususnya negara ASEAN.
Profilnya dalam misi kemanusiaan terlalu banyak untuk ditulis satu persatu. Namun, salah satu misi yang paling tidak dapat dilupakan adalah rundingan diplomatik dan perhubungan persahabatan bagi membebaskan 47 tahanan rakyat Malaysia dari penjara Kemboja pada Februari 2019.
“Sebenarnya, negara kita cukup dikenali di mata orang luar sebagai sebuah negara misi keamanan. Paling saya ingat, misi di Kemboja pada tahun lepas kerana ia bukan mudah.
“Semasa kejadian, kita tidak mempunyai kedutaan di sana dan rundingan juga sukar namun menggunakan segala strategi dan kemahiran diplomasi selama berkhidmat dengan kerajaan, saya
berjaya membantu membebaskan kesemua 47 tahanan.
“Saya anggap ia sejarah sepanjang karier kerana ia adalah yang paling mencabar dan di luar kebiasaan misi yang dilakukan sebelum itu.
“Mengubah fakta kes, melibatkan hubungan diplomatik dua negara, percayalah, ia bukan sekadar diplomasi semata-mata. Ia lebih daripada itu,” katanya.
Bukan tugas NGO sahaja
Melahirkan pandangan bahawa soal bantuan kemanusiaan itu bukan terletak di bahu NGO semata, Mustapha menganggap setiap individu wajar memainkan peranan dan tanggungjawab yang sama.
Paling utama, sifat dan kegiatan ini seharusnya digalakkan dlama generasi muda yang tentunya menjadi pelapis pada masa akan datang.
“Setiap orang perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik. Hayatilah perjuangan setiap NGO yang ada kerana ia adalah untuk kebaikan ummah sejagat. Bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk semua pihak.
“Jika ada yang hidup susah, usah kita berpejam mata dan bantulah yang mana terdaya. Namun harus diingat, lakukan ia dengan ikhlas, penuh amanah dan tanggungjawab,” katanya.

Pengiktirafan untuk NGO
Mustapha yang bersyukur atas anugerah Utama Semarak Cinta Rasul menyifatkan pengiktirafan itu juga mewakili semua pihak yang terdorong melakukan misi bantuan termasuk NGO yang ada dalam negara ini.
“Kerja-kerja NGO adalah kerja yang berterusan selagi mampu. Dalam masa yang sama, kita perlu melatih warga belia untuk meneruskan kesinambungan ini dan ia tidak boleh mati begitu sahaja.
“Saya suka melihat kegembiraan dan senyuman orang lain dan apabila kita dapat meringankan sedikit beban mereka, semua penat lelah terasa hilang dan bagaikan satu kepuasan.
“Mungkin ini dapat menjadi contoh terbaik buat semua pihak di luar sana kerana usaha untuk membantu orang lain, umat sejagat demi kedamaian adalah tugas kita semua,”katanya.










